Utusan: Penyokong Malaysia Tak Patriotik?

Respons kepada Surat 1 dan Surat 2

Wartawan Astro Supersport: “Alright Dato’, now, I’m going to ask you a VERY PERSONAL question, amid all these chaos that’s happening with Liverpool fans, you are a Man Utd fan, and you know watching Liverpool played Malaysia and do what they did, as a Man Utd fan how are you feeling about that?”

(“Baik Dato’, sekarang, saya akan bertanya kepada anda satu soalan yang SANGAT PERIBADI, di tengah-tengah ‘kekecohan’ yang berlaku oleh peminat-peminat Liverpool, anda ialah seorang peminat Manchester United, dan apabila menyaksikan Liverpool bermain dengan Malaysia dan melakukan apa yang telah mereka lakukan, sebagai seorang peminat Manchester United apa yang anda rasa mengenai itu?”)

Dato’ K. Rajagobal: “I mean, definitely I feel very proud that we managed to score three goals. These supporters must understand, that passion should be with us for tonight. AFTER THAT you can have all the passion, all the love, all the support, for Liverpool. Deep inside you must be very, very proud of each and every individual players of the Malaysian who went there and showed what they can really do. If we had more support, I think we would have played, maybe better for the motivation. As a Man Utd fan, I mean, I am, in a way, happy that we scored one goal extra, (reporter laughed) than Man Utd. That is a happy thing for me to be a coach for the Malaysian team.”

(“Maksud saya, sudah tentu saya rasa sangat bangga kerana kita mampu menjaringkan tiga gol. Penyokong-penyokong ini perlu faham, keghairahan itu perlu bersama-sama kami pada malam ini. SELEPAS ITU, anda boleh miliki segala keghairahan, segala rasa cinta, segala sokongan, untuk Liverpool. Jauh di dalam anda patut merasa sangat sangat bangga terhadap setiap seorang individu pemain Malaysia yang pergi ke sana dan menunjukkan apa yang sebenarnya mereka mampu buat. Sebagai seorang peminat Manchester United, maksud saya, saya rasa, daripada satu segi, gembira kerana kita menjaringkan satu gol ekstra (wartawan gelak), berbanding Manchester United. Itu ialah satu perkara gembira untuk saya sebagai jurulatih pasukan Malaysia.”)

Di celah mana silapnya kata-kata yang diungkapkan oleh Dato’ K. Rajagobal itu?

Apakah saranan untuk melebihkan keghairahan sokongan terhadap pasukan negara itu silap?

Bagaimana pula dengan saranan untuk mengemudiankan keghairahan, cinta dan sokongan terhadap kelab Liverpool?

Merasa bangga terhadap usaha setiap pemain pasukan Malaysia?

Di mana silapnya?

Wartawan media swasta berkenaan yang ingin mewujudkan temubual ceria apabila bertanyakan soalan yang beliau sendiri labelkan ‘sangat peribadi’: iaitu perasaan Dato’ Rajagobal sebagai peminat Manchester United. Adakah Dato’ Rajagobal salah kerana sekadar menjawab soalan tersebut?

Dato' K. Rajagobal: Apa Yang Silapnya?

Saya tidak dapat pula mengikuti kenyataan penyerang negara, Safee Sali secara langsung melalui media elektronik. Namun, saya pasti soalan serupa sepertimana Dato’ Rajagobal juga diajukan oleh wartawan kepada Safee Sali.

Adakah saranan Dato’ Rajagobal untuk melebihkan keghairahan sokongan terhadap pasukan negara berbanding lawannya kini sudah menjadi satu perkara salah?

Inilah masalahnya ‘peminat-peminat bolasepak’ di Malaysia. Rata-rata mereka berkiblatkan bolasepak Eropah, mendabik dada dengan mengaku arif tentang sesuatu kelab yang diminati, sehingga mengalahkan anak-anak jati Eropah sendiri. Namun, para ‘bijak pandai’ bolasepak Eropah ini tiba-tiba boleh berubah menjadi dungu apabila menyentuh bab tradisi orang Eropah yang setia kepada pasukan negara mereka.

Tiada penyokong bolasepak Eropah, yang mengaku menyokong pasukan negaranya, akan tergamak memakai jersi pasukan lawan. Tiada penyokong England yang sanggup memakai jersi Scotland, dan begitu juga sebaliknya. Tiada penyokong Republik Ireland, atau penyokong Ireland Utara, yang sanggup berpaling tadah menyokong England, biarpun pasukan yang disokongnya itu memiliki hampir 0% peluang untuk memenangi apa-apa kejohanan antarabangsa.

Sedangkan England, pasukan paling dominan di bawah naungan kerajaan Great Britain yang sama pun tidak tergamak disokong, apatah lagi pasukan lawan yang sekadar bertaraf kelab? Pasukan negara Eropah manakah yang sanggup mencemar dan merendah-rendahkan maruah sendiri untuk bertemu, dan berdepan risiko tewas kepada kelab?

Pasukan negara Amerika Selatan, Argentina contohnya, tidak akan melawan kelab Barcelona, walau betapa hebatpun kelab tersebut. Sebaliknya pada 2009, Argentina telah ditemukan dengan pasukan kebangsaan Catalonia, wilayah autonomi yang rakyatnya lebih bangga mengaku berbangsa Catalan daripada mengaku berbangsa Sepanyol. Situasi sama juga berlaku kepada negara Venezuela dan Estonia yang tidak akan sanggup melawan kelab Athletic Bilbao atau Real Sociedad, sebaliknya akan diaturkan agar bertemu pasukan wilayah autonomi Basque. Negara selamanya akan didahulukan berbanding kelab. Di Malaysia, ketaksuban terhadap perlawanan-perlawanan pertunjukan ini pernah mengundang kecaman AFC dan FIFA sebelum berlangsungnya Piala Asia 2007.

Bezanya ialah budaya kita tidak meletakkan nilai harga diri pasukan negara setinggi yang dilakukan oleh orang Eropah kepada pasukan-pasukan kebangsaan mereka. Namun, ini sama sekali bukanlah lampu hijau untuk mana-mana rakyat agar mendahulukan lawan-lawan pasukan negara kita.

Pada Julai 2010, sekumpulan rakyat Malaysia, rata-ratanya anak Melayu yang memakai baju serba merah, sesetengahnya mengenakan ‘tanduk’ (simbol kelab rasmi penyokong Korea Selatan yang digelar ‘Red Devils’), telah datang ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyokong pasukan Korea Selatan, pasukan negara lain, ketika menentang Malaysia! Malah, apa yang lebih mendukacitakan ialah ada antara mereka yang mempertahankan habis-habisan tindakan mereka sambil menghina lagu kebangsaan di laman sosial Facebook. Adakah kita mahu biarkan sokongan terhadap pasukan kebangsaan merosot ke tahap sebegini?

Anak muda moden: Menyokong lawan Malaysia tiba-tiba menjadi halal atas dasar 'suka-suka' atau 'fun'.

Anak muda moden: Bukan sahaja sokongan terhadap Korea dipertahan, malah sokongan terhadap Malaysia diperlekeh.

Kekecewaan pemain kebangsaan.

Apa yang paling menyayat hati ialah betapa segelintir ‘peminat bolasepak’ tempatan yang beriya-iya membela kelab Liverpool dengan menyatakan bahawa mereka sekadar bermain secara ‘diplomasi’ serta ‘memberi muka’ untuk tidak membelasah pasukan kebangsaan Malaysia. Wah, begitu hinanya tahap pasukan kebangsaan sehingga dianggap tidak memiliki peluang langsung untuk bersaing dengan Liverpool kalau tidak diberi ruang simpati. Saya ingin bertanya kepada golongan ini: penjaga gol manakah dalam dunia yang boleh menyelamatkan sepakan percuma setepat yang dijaringkan kapten negara, Safiq Rahim?

Pada tarikh perlawanan Malaysia-Liverpool berlangsung, perlawanan kompetitif (perlawanan Liga Perdana Inggeris) bagi Liverpool hanya akan berlangsung dalam tempoh sebulan, sedangkan perlawanan kompetitif bagi pasukan kebangsaan akan dilangsungkan dalam tempoh seminggu. Saya ingin bertanya lagi: pemain waras manakah yang sanggup mengambil risiko bermain bermati-matian dalam perlawanan pertunjukan (bukan persahabatan) yang tidak membawa apa-apa makna kepada ranking FIFA, sedangkan sebuah perlawanan kelayakan Piala Dunia akan berlangsung beberapa hari saja lagi?

Saya cadangkan para ‘peminat bolasepak’ ini bertanya kepada pemain pertahanan negara, Nasriq Baharom, sama ada beliau kecewa apabila terlepas peluang beraksi dalam Piala AFF 2010 kerana cedera buku lali dalam satu perlawanan persahabatan sebelum kejohanan. Jangan lupa juga untuk bertanya kepada Aidil Zafuan, penjaring separuh daripada jumlah gol Malaysia dalam kelayakan Piala Dunia setakat ini, apakah perasaan beliau apabila cedera dalam perlawanan pertunjukan menentang Arsenal dan kini berhadapan risiko tidak bermain apabila menentang Singapura Sabtu ini?

Inilah lagi masalahnya dengan ‘peminat-peminat bolasepak’ Eropah kelahiran Malaysia. Mereka tahu segala-galanya tentang kelab Eropah kesayangan mereka: perihal pemain bintang pujaan mana yang cedera, malah istilah perubatan seperti metatarsal pun mampu dihafal. Sebaliknya, para pemain tempatan dianggap bagaikan robot yang tidak layak berehat. Ramai pihak menghentam barisan serangan negara yang diketuai Indra Putra Mahayuddin apabila tersingkir daripada Pestabola Merdeka 2006, tanpa mengakui hakikat betapa beliau bermain sepanjang musim liga dengan kecederaan di kedua-dua buah buku lali yang hanya dibedah selepas kejohanan Pestabola Merdeka berakhir. Ramai juga tergamak mencemuh penyerang Akmal Rizal Rakhli yang gagal Ujian Cooper suatu ketika dahulu, tanpa menyentuhpun hakikat betapa karier beliau telah ‘dimusnahkan’ oleh kecederaan lutut yang berulang, tidak ubah seperti yang dialami bekas penyerang Liverpool, Michael Owen.

Sampai begitu sekalikah kita, rakyat Malaysia, berhempas pulas untuk membela dan mendahulukan lawan kepada pasukan Malaysia? Apakah tiada ruang langsung di dalam jiwa kita untuk tidak menjadi bacul bagi MENZAHIRKAN KEUTAMAAN negara tanah tumpah darah kita berbanding lawan-lawannya? Kepada pihak-pihak yang terlalu sensitif, sila ambil maklum bahawa saya tidak sekalipun menyebut perkataan ‘patriotik’ dalam tulisan di atas. [Kembali ke Laman Utama]


4 Respons to “Utusan: Penyokong Malaysia Tak Patriotik?”

  1. Ketaksuban serupa apakah ini? Sebak membacanya. Sampai hati mereka hingga sanggup memperlekehkan pasukan negara sendiri. Betapa angkuhnya manusia demikian rupa gayanya hingga maruah negara jadi barang cercaan dan pemain negara di perkotak-katikkan keupayaan mereka. Taksub biarlah berpada-pada. Kelab eropah mana pun tak boleh dibandingkan dengan pasukan negara sendiri. Kalau pun pemain kita tidak sebagus pemain dari kelab eropah itu, mereka wajar dihargai seadanya dan bukan dicemuh, kerana mereka membawa nama negara!

  2. Ketaksuban mereka kepada skuad bola sepak EPL sangat melebih-lebih, adakah mereka malu untuk menyokong skuad negara sendiri?? Sungguh tidak boleh diterima akal!

  3. kebodohan mentaliti rakyat dunia ke 3..malah lebih teruk lagi dunia ke 5..duduk atas pokok..

  4. masa MU dtg Malaysia pun mcm tu jugak.. xde pulak disebut dlm crita ni ek?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: