The Ultra Culture Part II – Selamat Hari Kebangsaan 2012

Turki ialah sebuah negara para patriot. Patriotismenya begitu menebal, sehinggakan sebaik sahaja meninggalkan Lapangan Terbang Ataturk untuk ke bandar Istanbul, dan melihat kibaran alsancak (panji-panji merah) di rumah-rumah apartmen, seseorang seakan-akan boleh menghirup patriotisme di udara, dan merasanya dengan lidah.

Ada banyak perkara yang kita boleh lihat dan belajar daripada Turki.

Jika kita menganggap orang Malaysia begitu kejam apabila melihat seorang Timbalan Perdana Menteri dipecat, apa pula yang akan kita katakan sekiranya kita mengetahui bahawa orang Turki pernah melihat Perdana Menteri mereka digantung sampai mati, semata-mata kerana melanggar Perlembagaan negaranya?

Berapa banyak artikel Perlembagaan Persekutuan yang telah kita langgar?

Nama Perdana Menteri Turki yang kali pertama dipilih secara demokratik kini diabadikan pada sebuah feri IDO – syarikat feri komuter terbesar di dunia.

Turki, yang suatu masa dahulu gah dikenali sebagai Khilafah Uthmaniyyah, pernah juga digelar sebagai ‘orang sakit Eropah’. Turki pernah dijajah oleh Greece dan pasukan bersekutu yang dianggotai oleh British, Perancis dan Itali. Ini bukan cerita zaman pedang dan kuda, ini cerita tahun 1922. Kalau tidak kerana seorang Inspektor Jeneral bernama Mustafa Kemal, Turki sekarang ini sudah dikuasai oleh sebuah kerajaan bukan Islam – tidak ubah seperti Palestin. Tidak ubah seperti Greece, Serbia, Romania dan Cyprus yang pernah dijajahnya. Sebelum 1878, Bulgaria juga ialah milik Turki.

Orang Malaysia, yang tiada kena mengenapun dengan Turki, begitu ghairah menggelar Mustafa Kemal sebagai berketurunan Yahudi, agen Yahudi, agen British, freemason, diktator, kuku besi, mayatnya tidak diterima tanah, penghancur Khilafah Islam, musuh Islam. Ketika beliau mengumumkan Pekeliling Amasya yang melancarkan Perang Kemerdekaan Turki, beliau telah meletakkan jawatan daripada tentera dan pernah dihukum bunuh oleh kerajaan yang beliau sendiri akan selamatkan selepas itu. Malah ketika beliau berusaha untuk mendapatkan senjata bagi memerangi penjajah tanahair beliau, beliau pernah diajak oleh Russia untuk menerima ideologi komunis. Apa jawapan Mustafa Kemal?

Soalan-soalan tersebut perlu ditangguhkan sehingga kemerdekaan Turki dicapai.

Never an Islamist. Still, a great soldier.

Ada beribu-ribu kata-kata keji dan nista yang dihamburkan ke atas beliau, namun sesuatu yang pasti ialah beliau seorang askar yang memiliki jatidiri yang teguh. Seorang yang no-nonsense. Untuk memenangi perang, perlu seseorang yang pandai berperang.

Bukan seseorang yang pandai bercakap.

Ini suatu konsep yang mudah: tugas yang berbeza memerlukan skillset yang berbeza. Sama seperti Jose Mourinho si penterjemah, kini merupakan seorang jurulatih yang hebat, dan bukan Ruud Gullit si pemain legenda. Apabila peperangan tercetus, mereka yang pandai bercakap akan bertempiaran melarikan diri. Yang tinggal hanyalah si kasar yang tegar – yang diharapkan untuk bergaduh dengan si musuh. Ketika Perang Kemerdekaan Turki, Mustafa Kemal bukanlah orang yang betul, di tempat yang betul, pada waktu yang betul: sebaliknya beliau ialah salah seorang yang belum tentu betul tetapi masih belum tergamak menjadi si bangsat yang cabut lari.

Rasulullah SAW sendiri pernah berdoa agar Allah Taala membantu Islam dengan memberikan hidayah kepada seseorang yang no-nonsense:

“Ya Allah! Muliakanlah Islam dengan salah seorang antara dua lelaki ini yang Engkau lebih sayang; dengan Abu Jahal atau dengan Umar bin al-Khattab.”
(Hadis riwayat Tirmizi, taraf hasan sahih gharib daripada Ibnu Umar r.a.).

Umar bin al-Khattab radiAllahuanhu, ialah seorang yang digeruni sebelum beliau memeluk Islam. Beliau pernah membelasah muka adiknya yang baru memeluk Islam sehingga berdarah. Apabila beliau mendapat hidayah, beliau sebaliknya membelasah musuh Islam pula. Empayar Islam berkembang pesat di bawah pimpinan beliau. Rasulullah SAW pernah bersabda “Sekiranya adalah selepas aku seorang nabi, maka ialah Umar bin al-Khattab” (Hadis riwayat Tirmizi, taraf hasan gharib). Namun, Umarlah yang menjulang tangan Abu Bakar r.a. untuk dibaiah sebagai khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW. Selepas perang Badar, Rasulullah SAW pernah menerima pendapat Abu Bakar r.a. untuk membebaskan tawanan perang, sedangkan Umar mahu agar tawanan-tawanan tersebut dibunuh sahaja. Allah Taala kemudiannya telah menurunkan ayat 67-68 surah Al-Anfal, yang menyokong pendapat Umar. Jatidiri yang decisive dan no-nonsense inilah yang menyebabkan Umar r.a. digelar oleh Rasulullah SAW sebagi al-Faruq: pemisah antara kebenaran dan kebatilan.

Mungkin, apa yang membezakan antara dua orang askar: Umar r.a. dan Mustafa Kemal, hanyalah hidayah daripada Allah Taala. Perbezaan yang sedikit, namun besar.

Allah, Muhammad, Umar – tanda-tanda nama ini dijulang di tiang-tiang Hagia Sophia (Ayasofya), bersama-sama nama Khulafa ar-Rasyidun yang lain dan cucunda-cucunda Rasulullah SAW, Hasan dan Husin. Hagia Sophia ialah bekas Gereja Ortodoks yang ditukar menjadi masjid, setelah kejatuhan kota Constantinople (kini Istanbul) di tangan sultan berbangsa Turki, Muhammad II al-Fatih.
Panji-panji merah mengucapkan selamat datang kepada para jemaah yang melangkah ke dalam Masjid Biru.

En. Musa Ilhan – pemilik akhbar Kurtulus: Istiklal Harbi Gazetesi (dua dari kiri).

Matahari, bulan dan bintang – logo ay yildiz yang disandblast pada cermin. Orang Turki memastikan siapa sahaja yang menaiki keretapi TCCD akan diingatkan bumi mana yang mereka sedang lihat di luar tingkap.

Turki pernah kuat suatu masa dahulu dan masih tidak lemah sekarang. Jika dahulu Turki terkenal dengan unit infantri janissary, kini Turki juga dikenali sebagai tentera kedua terbesar dalam NATO, selepas Amerika Syarikat. Apabila Syria menembak jatuh jet pejuang F-4 milik Turki Jun lepas, mereka kelam-kabut meminta maaf kepada Turki di atas kesilapan besar tersebut.

Apa yang diperlukan untuk membina negara sehebat Turki?

Ia hanya memerlukan jatidiri yang merdeka, jatidiri yang kuat. Sebagaimana Islam itu pernah kuat, ketika dijulang oleh asbab yang berjatidiri kuat. Orang Turki boleh menjadi orang Islam yang kuat tetapi masih mengekalkan identiti bangsa Turki. Orang Melayu bercita-cita menjadi orang Islam yang kuat tetapi mahu meniru-niru identiti bangsa Arab – bangsa yang pernah bersekongkol dengan Lawrence of Arabia untuk melakukan pemberontakan terhadap Khilafah Uthmaniyyah. Orang Melayu menyangka menggantikan frasa Melayu ‘buka puasa’ dengan ‘iftar’ akan membawa pahala. Mereka kata memakai serban lebih afdal daripada memakai songkok – sedangkan gaya serban tok Arab mereka sama sekali tidak menyerupai cara pemakaian serban Rasulullah SAW. Mereka kelihatan ujub dan takabbur memakai jubah berbanding baju Melayu, namun jubah-jubah mewah mereka sama sekali tidak menepati sifat kezuhudan dan tawadduk Rasulullah SAW.

Jika membina jatidiri Melayu itu bersifat asabiyyah, maka bukankah perbuatan meniru-niru gelagat tok Arab yang tiada kena-mengena langsung dengan akhlak Rasulullah SAW juga asabiyyah? Tergamakkah kita untuk mencemuh datuk kita, bapa dan pakcik-pakcik kita yang bersongkok dan berbaju Melayu: semata-mata untuk menegakkan perkara-perkara jibiliyyah?

Apa hebatnya sifat jibiliyyah Arab, sifat kebangsaan Arab? Tatkala seorang raja Arab hanya seolah-olah menyatakan “nah, ambillah duit ini”, orang Turki lebih beradab apabila bersusah-payah memungut derma, menghantar sumbangan dan datang sendiri ke Myanmar untuk melihat situasi sebenar akibat pembunuhan besar-besaran masyarakat Muslim Rohingya.

Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, dan Emine Erdogan, isteri PM Turki. Anda masih fikir bangsa Arab ialah penaung terbaik dunia Islam?

Jatidiri orang Turki boleh dilihat dengan ketara melalui sokongan mereka terhadap pasukan-pasukan bolasepak tempatan. Mana-mana individu yang berkunjung ke Turki sewaktu Super Final sedang berlangsung, sudah pasti akan perasan bagaimana orang Turki mengikuti perlawanan-perlawanan bolasepak tempatan dengan penuh minat, tidak kiralah ketika sedang berniaga di bazaar-bazaar di Istanbul mahupun di pantai-pantai di Antalya, yang terletak hampir 500 kilometer dari Istanbul. Orang Malaysia sebaliknya, mahukan sukan bolasepak tempatan berjaya, tetapi mereka menyokong pasukan bolasepak asing yang berpusat 10,000km dari tanah tumpah darah mereka.

Malaysia telah merdeka selama 55 tahun, namun jatidiri orang Malaysia jelas masih kekal dijajah.

Besiktas menamakan stadium mereka Inonu Stadyumu – bersempena Ismet Inonu, Presiden kedua Turki dan seteru kuat Adnan Menderes.

Atas kesedaran untuk memerdekakan jatidiri inilah, maka pada tahun 2010, sekumpulan anak-anak muda Malaysia, daripada pelbagai latarbelakang dan ideologi yang berbeza, telah bersatu untuk menjulang Jalur Gemilang gergasi ketika berhadapan dengan negara yang pernah melontar najis kepada lambang tanah tumpah darah mereka.

Untuk menjulang panji-panji negara sebesar ini, bukanlah satu kerja yang mudah. Tugas sukar ini telah dicetus oleh Ta Wau Alif Haa yang telah memaklumkan bahawa sebuah Jalur Gemilang gergasi sedang dijadual untuk dilupuskan oleh sebuah institusi kerajaan. Penulis kemudiannya telah mendapatkan pengesahan bahawa surat kebenaran untuk membawa keluar Jalur Gemilang ini telah disiapkan, dan mengurus penyewaan pengangkutan untuk membawanya ke Stadium Nasional, Bukit Jalil. Satu pengumuman, yang tidak ubah seperti Pekeliling Amasya, telah dibuat untuk mengumpul para sukarelawan.

Maka pada hari Sabtu, tanggal 25 Disember 2010, berkumpullah anak-anak muda dari sekitar Lembah Klang – mereka datang dengan kereta dan pengangkutan awam ke institusi kerajaan berkenaan. Mereka kemudian dibawa memasuki institusi tersebut, setelah mendaftar nama masing-masing kepada pihak polis yang kelihatan agak curiga. Jalur Gemilang gergasi telah dikeluarkan dari stornya, dibentang dan dibersihkan, dilipat dan kemudian diangkat beramai-ramai ke dalam pengangkutan yang telah disediakan. Pemandu, seorang yang berbangsa India, telah mengajukan soalan kepada penulis “Kenapa kerja seperti ini tiada penaja?”

Kesemua anak-anak muda berkenaan kemudiannya telah bersama-sama ke Stadium Nasional Bukit Jalil untuk membawa masuk Jalur Gemilang gergasi ke dalam stadium. Walau bagaimanapun, para pengawal dan wakil penganjur tidak mengizinkan bendera itu dibawa masuk. Masa berlalu pergi dihabiskan dengan menunggu di hadapan pagar stadium, krew televisyen Al-Hijrah datang untuk menemuramah bersilih ganti dengan NTV7, sehinggalah Apit, seorang individu yang cintakan negaranya – dan baru sahaja kembali dari Johor Bahru, telah masuk ke dalam mesyuarat jawatankuasa penganjuran untuk mendapatkan kebenaran.

Jalur Gemilang gergasi – pada hari pertama ia ‘memulakan tugas’.

Itulah kali pertama Jalur Gemilang gergasi dibawa ke dalam perlawanan pasukan kebangsaan.

Namun, tragedi telah menimpa sebelum perlawanan berlangsung. Kerana bilangan mereka yang kecil, para sukarelawan gagal mengawal ribuan manusia yang menarik Jalur Gemilang berkenaan, mengakibatkan ia telah dijulang secara terbalik. Tragedi ini, seperti yang dijangka, telah mengundang cacian dan makian daripada pelbagai pihak. Bagaimanapun, pihak-pihak yang mencaci ini tidak pernah menawarkan tenaga mereka secara percuma untuk mengangkut sebuah bendera bersaiz gergasi ke stadium. Mereka hanya pandai melontarkan cacian: sepertimana pihak yang tidak pernah berkorban untuk memerangi penjajah tanahair mereka telah melontarkan cacian kepada Mustafa Kemal, si askar yang tidak tahu apa itu erti melarikan diri.

Kini, lebih ramai lagi anak-anak muda telah menabur jasa membawa Jalur Gemilang gergasi ini dengan kenderaan milik peribadi mereka, menyimpan dan bergotong-royong memikulnya ke perlawanan pasukan kebangsaan. Malah, ia telahpun dibawa menyeberangi Tambak Johor untuk ke Stadium Jalan Besar di Singapura.

Jalur Gemilang gergasi – di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Sesuatu yang perlu diingat ialah di kala rata-rata orang menagih kepentingan peribadi, faedah kewangan dan subsidi untuk menyokong negara, kesemua anak-anak muda ini telah menjulang Jalur Gemilang gergasi dengan mencurahkan keringat, mengorbankan masa dan wang ringgit yang dikeluarkan daripada poket mereka sendiri – semata-mata kerana rasa cinta terhadap tanah tumpah darah mereka. Itulah sifat para patriot sebenar.

Itulah jatidiri yang merdeka.

Selamat Hari Kebangsaan 2012.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: