The Ultra Culture Part I – Tradisi Ulung

Bolasepak.

Tiada apa yang lebih tepat untuk menggambarkannya selain dua perkataan yang membentuk frasa ini: spectator sport (sukan tontonan).

Oleh kerana ia adalah ‘sukan tontonan’, maka sudah tentulah terasnya ialah ahli sukan dan penonton. Pemain, dan penyokong. Kedua-dua pemain dan penyokong ialah tunjang yang mendukung sukan bolasepak, yang menentukan berjaya atau tidaknya industri bolasepak. Saling memberi, dan saling menerima. Tanpa pemain, maka tiada apa yang boleh disokong. Dan tanpa penyokong, maka hilanglah nilai sesuatu permainan.

Itulah bolasepak, pada dasarnya.

“Di sinilah letaknya kepentingan para penyokong. Merekalah yang memberikan nilai kepada bolasepak.”

Dan dasar itulah yang menjulang bolasepak sebagai sukan paling popular di seluruh dunia. Fikirkan, ada banyak lagi sukan-sukan lain yang lebih mendatangkan kecergasan dan kesihatan fizikal, tanpa perlu menanggung risiko kecederaan seperti bolasepak. Namun jumlah penyokong yang menonton sukan-sukan ini, selama-lamanya tidak akan mampu menandingi jumlah penyokong bolasepak. Dan tanpa penyokong, apakah nilainya?

Di sinilah letaknya kepentingan para penyokong. Merekalah yang memberikan nilai kepada bolasepak.

Arena bolasepak tempatan sentiasa diwarnai oleh apa yang gemar digelar oleh media massa sebagai “telatah para penyokong”. Namun perkataan “telatah” itu merupakan istilah yang kurang tepat untuk menggambarkan kisah-kisah mereka yang sebenar. Istilah lebih tepat yang seharusnya digunakan ialah “sumbangan”; malah mungkin “pengorbanan”.

“Apa yang ramai pihak terlepas pandang ialah kerja ultra bermula lama sebelum wisel ditiupkan dan perlawanan dimulakan.”

Tatkala bercakap tentang penyokong, pasti ada yang membangkitkan tentang gerakan ultra. Apabila berbicara tentang gerakan ultra, pasti perkara yang timbul di fikiran ramai ialah imej skarf yang dipakai menutup muka, suar (flare) yang dinyalakan dan nyanyian chant. Apa yang ramai pihak terlepas pandang ialah kerja ultra bermula lama sebelum wisel ditiupkan dan perlawanan dimulakan. Ultra menyediakan tifo, mengecat banner, memikulnya beramai-ramai ke stadium dan kemudian menggantungnya. Apabila perlawanan tamat, mereka melipat banner dan bergotong-royong membawanya pulang.

Aktiviti-aktiviti ini ialah kerja dan bukannya “telatah”.

Salah seorang individu yang seringkali dilihat membanting tulang untuk menggantung banner ialah FM, penyokong yang telah banyak menabur bakti untuk memeriahkan arena bolasepak negara. Sebagai seorang penyokong tegar pasukan bolasepak kebangsaan dan negeri kelahiran beliau, FM seringkali memikul tanggungjawab untuk menganjurkan rombongan-rombongan penyokong ke stadium-stadium lawan.

Bagi FM, menyokong pasukan kesayangan di stadium adalah lebih daripada sekadar suka-suka. Ia adalah tradisi keluarga.

Sebelum kita terlalu lekas melabel beliau sebagai seorang yang banyak berbelanja, kita perlu mengetahui hakikat betapa perbelanjaan beliau untuk ke stadium semuanya diperolehi daripada ikhtiar tanpa mengenal erti penat lelah.

“Sampai sekarang, (saya) simpan paper, kutip botol dan tin dan barang lama untuk beli tiket dan isi minyak kereta ke stadium,” jelas FM. Beliau juga menambah bahawa beliau pernah mengelak berbelanja untuk makan dan minum di stadium semata-mata untuk “lepas” belanja membeli tiket.

Ketika para pemain wajib hadir ke stadium kerana tugas, para penyokong sebaliknya memiliki pilihan untuk tidak hadir. Namun, penyokong seperti FM masih memilih untuk berbakti kepada industri bolasepak tempatan. Apa yang tidak diketahui ramai ialah pada musim ini sahaja, FM tidak pernah terlepas ke setiap perlawanan pasukan kebangsaan dan negeri yang diadakan di Malaysia dan Singapura, sama ada perlawanan home (tempat sendiri) mahupun away (tempat lawan), kecuali 3 perlawanan yang dilangsungkan 2 minggu lepas. Itupun kerana pada tempoh tersebut, beliau sedang berkhidmat dengan kontinjen negeri beliau di SUKMA. “Semua belanja dan duit tiket hasil kumpul barang dan usaha sendiri asalkan pegi ke stadium,” kata FM.

“Sentiasa bersatu dan menyokong di belakang pasukan, dan didiklah anak-anak, adik-adik, saudara-mara untuk hadir ke stadium.”

– FM, 24 Julai 2012

Bagi FM, menyokong pasukan kesayangan di stadium adalah lebih daripada sekadar suka-suka. Ia adalah tradisi. FM sangat bertuah kerana memiliki keluarga yang sentiasa menyokong pasukan kebangsaan dan negeri beliau sejak daripada zaman Stadium Merdeka, sehinggalah Stadium Shah Alam dibuka. “Apa carapun selagi hayat dikandung badan insyaAllah (saya) akan sentiasa berada di belakang pasukan kesayangan negeri dan Malaysia,” tekad beliau. Nada yang sangat merendah diri, bagi seseorang yang telah lama berjasa untuk memberi erti dan nilai kepada arena bolasepak tempatan. Apabila diminta untuk memberikan pesanan kepada para penyokong lain, beliau berkata “Sentiasa bersatu dan menyokong di belakang pasukan, dan didiklah anak-anak, adik-adik, saudara-mara untuk hadir ke stadium.”

Sejumlah kecil tiket-tiket yang masih ada dalam simpanan FM.

Di Malaysia, antara pemain dan penonton, wujudlah FAM. Sebagai badan yang bertanggungjawab mengurus bolasepak tempatan, sudah tentulah tugas FAM ialah untuk membawa manfaat kepada pemain dan penonton. Namun jika tugas FAM ialah untuk melahirkan pemain-pemain berkebolehan, tugas itu telah diambil alih oleh Kementerian Belia dan Sukan yang mengendalikan Harimau Muda. Jika tugas FAM ialah untuk menarik minat penonton, tugas itu sama sekali tidak dilakukan malah perkara sebaliknya yang berlaku.

FAM, khususnya Jawatankuasa Tiket dan Pintunya, sewenang-wenangnya telah melonjakkan harga tiket final Piala Malaysia kepada RM50. Dan bukan itu sahaja, mereka turut menaikkan harga tiket bagi perlawanan Liga Super kepada RM15. Mungkin sebaik sahaja melihat perlawanan-perlawanan pertunjukan Malaysia menentang kelab-kelab EPL seperti Manchester United, Arsenal dan Liverpool dibanjiri penonton, FAM serta merta merasa yakin bahawa penyokong tempatan telah bersedia untuk berbelanja besar bagi menonton bolasepak.

Dan kini setelah tamatnya Liga Super musim ini, FAM nyata telah silap.

Stadium-stadium terus kosong. Bolasepak tempatan semakin nazak.

“Kesilapan terbesar FAM ialah gagal untuk mengenalpasti siapakah yang menyokong industri bolasepak tempatan selama ini.”

Kesilapan terbesar FAM ialah gagal untuk mengenalpasti siapakah yang menyokong industri bolasepak tempatan selama ini. Jika FAM mengambil pendekatan simplistik dan menganggap bahawa semua penyokong itu sama sahaja, maka mereka patut dijatuhkan hukuman bersalah kerana tidak melakukan kajian pasaran. Industri bolasepak, sepertimana jenis-jenis tontonan yang lain, tidak boleh lari daripada hakikat betapa ia tertakluk kepada model ekonomi supply and demand. Adakah FAM menganggap demand untuk bolasepak tempatan begitu tinggi sehingga menghalalkan harga tiket dinaikkan?

Ya, memang ramai yang mampu mengeluarkan belanja SEKALI SETAHUN untuk tiket-tiket yang mahal bagi SATU perlawanan pertunjukan menentang kelab asing. Tetapi rata-rata golongan ini tidak akan menonton pertandingan bolasepak tempatan. Bagi golongan ini, RM15 bukanlah semahal mana, tetapi bagaimana pula RM15 untuk setiap 13 perlawanan Liga Super di stadium sendiri? Bagaimana pula RM15 untuk setiap 13 perlawanan Liga Super di stadium lawan, ditambah dengan belanja perjalanan?

Golongan yang selama ini bertanggungjawab memeriahkan arena bolasepak negara ialah golongan marhaen. Tanpa mereka, siapalah FAM. Kini, apa yang FAM berjaya lakukan hanyalah ‘membunuh’ penyokong bolasepak tempatan yang paling kuat, yang paling setia.

“Walau setinggi manapun kedudukan ahli-ahli jawatankuasa FAM kini, tidakkah ada di kalangan mereka yang berasal daripada golongan marhaen?”

Pada bulan yang suci lagi mulia ini, mungkin sudah tiba masanya untuk FAM melakukan soul searching, dan memperbetul segala kesilapan yang telah dilakukan. Walau setinggi manapun kedudukan ahli-ahli jawatankuasa FAM kini, tidakkah ada di kalangan mereka yang berasal daripada golongan marhaen? Yang pernah mengumpul suratkhabar, mengutip botol dan tin: bersusah-payah semata-mata untuk menyokong bolasepak tempatan?

Masanya sudah lama tiba untuk FAM berubah. FAM tidak akan mampu kehilangan penyokong-penyokong setia bolasepak tempatan, seperti FM.

Hasil usaha Abg Aiedeen.


Satu Respons to “The Ultra Culture Part I – Tradisi Ulung”

  1. kalau FAM pandai, xde nya bola malaysia lngkup. masalahnye camne nak bagi diorg ni cerdik skt? ataupun bagi diorg ni x pgang jawatan langsung? maki sudah, hack sudah, xkan nak kena mula main molotov kot?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: