The Land Where My Blood Has Spilt – Part II

1 Disember 2010

Tanggal 1 Disember 2010 seboleh-bolehnya mahu dikenang oleh para penyokong Indonesia sebagai hari kemenangan mereka, dan hari hitam untuk kita. Namun ia tidak terjadi. Mengapa? Kerana para penyokong Malaysia sudah terlalu lali dengan kekalahan-kekalahan yang meremukkan hati mereka sebelum ini. Malah bukankah Malaysia baru sahaja tewas di Sukan Asia? Mana-mana kekalahan lain tidak akan membawa sebarang bentuk kejutan lagi kepada penyokong Malaysia – ianya seakan-akan sudah menjadi lumrah.

“Mereka terlupa bahawa anak Melayu dengan nama Islam ini, juga memiliki dua kaki dan boleh menendang.”

Sebaliknya apa yang mengejutkan ialah pada malam 1 Disember tersebut, Malaysia telah mendahului tuan rumah seawal minit ke-18. Norshahrul Idlan Talaha yang masih belum cukup terkenal untuk digelar dengan nama manjanya oleh media massa, telah merembat masuk gol pertama Harimau Malaya sekaligus membisukan lebih 60,000 orang penyokong Indonesia di dalam Stadium Gelora Bung Karno. Norshahrul tidak dimark. Mungkin dalam keghairahan Indonesia untuk menonton askar-askar upahan Mat Salleh mereka beraksi, mereka terlupa bahawa anak Melayu dengan nama Islam ini, juga memiliki dua kaki dan boleh menendang.

Mat Yo, has finally arrived.

Apa yang terjadi kemudian hanyalah Sang Logik yang datang untuk menyekeh kepala Mat Jenin dengan kasar. Apabila Rajagobal menurunkan Safee, Norshahrul dan Amri dalam kesebelasan yang sama, beliau memang tahu bahawa satu ruang yang besar akan tercipta di belakang ketiga-tiga mereka – ruang yang sedia untuk dieksploitasi oleh Indonesia. Mana-mana individu yang mengikuti perkembangan bolasepak tempatan sudah sedia maklum bahawa tiada seorangpun daripada kalangan ketiga-tiga pemain ini yang terkenal kerana kualiti defensive mereka. Tambah pula dengan winger seperti Amirul Hadi.

Gol pertama tuan rumah dijaringkan hanya 4 minit kemudian, berpunca daripada gerakan di sayap yang dihuni oleh Amirul Hadi. Mohammad Nasuha telah memecut meninggalkan Amirul sebelum melepasi dua cubaan tackle oleh pertahanan Malaysia, dan kemudian menghantar cross rendah yang mengenai Asraruddin sebelum masuk menerjah jaring. Asraruddin juga kemudiannya akan membuat kesilapan yang mengakibatkan gol keempat bolos.

Gol kedua Indonesia merupakan isyarat jelas betapa mereka kini telah menghidu ruang kosong yang terhidang di tengah-tengah padang. Mat Salleh Uruguay yang diimport telah dibiarkan menari-nari di ruang kosong tersebut sebelum membuat hantaran yang disambut teman sepasukannya – si jaring. Muhammad Ridwan kemudian sempat membuat one-two dengan rakannya pula sebelum menjaringkan gol ketiga. Malaysia sama sekali telah dihancurkan di bahagian midfield.

Ruang kosong yang tercipta di midfield telah diubahsuai menjadi dewan tari-menari untuk pemain-pemain Indonesia.

Tidak kisahlah jika gol Safee tidak dikira kerana offside.

Kempen Piala AFF Malaysia untuk edisi 2010 sudah kelihatan jahanam pada langkah pertama lagi.

4 Disember 2010

Walau setegar manapun para penyokong Malaysia, tiada yang mahu meletakkan harapan tinggi kepada anak-anak buah Rajagobal untuk mencapai keputusan positif apabila berhadapan dengan Thailand. Apatah lagi setelah kecundang 5-1 di tangan Indonesia, hanya 3 hari sebelum itu.

Walau bagaimanapun tiada mana-mana pemerhati bolasepak juga yang menyangka bahawa Laos akan berjaya mencapai seri dengan Thailand pada perlawanan pertama mereka. Akibat daripada keputusan yang mengejutkan itu, perlawanan kedua ini menjadi situasi must-win untuk Thailand: perkara yang akan menjadikan keadaan bertambah sukar bagi Malaysia.

“Kami memperlihatkan keyakinan dan kepercayaan kepada satu sama lain. Adalah penting untuk kami sentiasa bersatu, dan sentiasa bersama – jurulatih, kakitangan, pemain dan semua orang yang terlibat dengan pasukan.”

Sesuatu lagi yang tidak dijangka ialah betapa Bryan Robson telah membuat reaksi knee-jerk selepas keputusan mengecewakan ketika menentang Laos. Beliau telah menukarkan sehingga 6 orang pemain dalam kesebelasan utama Thailand. Pemain-pemain yang direhatkan termasuklah kapten Thailand sendiri – Terdsak Chaiman, selain penyerang serta bekas pemain pasukan remaja Everton, Teeratep Winothai. Apa yang dilakukan oleh Robson ialah contrast yang nyata berbanding apa yang dibuat oleh Rajagobal – yang sentiasa memberikan kepercayaan kepada anak-anak buahnya. Rajagobal sememangnya meletakkan nilai yang tinggi kepada kepercayaan: “Kami memperlihatkan keyakinan dan kepercayaan kepada satu sama lain. Adalah penting untuk kami sentiasa bersatu, dan sentiasa bersama – jurulatih, kakitangan, pemain dan semua orang yang terlibat dengan pasukan,” kata beliau dalam satu ucapan kepada PFF (Persekutuan Bolasepak Filipina) pada 2011.

Berbanding Rajagobal, Robson tidak melatih para pemain beliau daripada remaja. Robson tidak cukup mengenali pemain-pemain beliau untuk mempercayai mereka, lebih-lebih lagi selepas satu keputusan perlawanan yang mengecewakan. Beliau hanyalah seorang jurulatih bintang yang datang kemudian, dan sudah tentulah beliau akan mencari nama-nama bintang juga.

Pertembungan Rajagobal dan Robson ialah pertembungan dua ideologi kejurulatihan yang berbeza.

Kedua-dua pasukan juga sebelum ini turut terlibat dalam Sukan Asia yang baru berakhir. Bezanya Thailand pulang lebih lewat kerana mara ke pusingan suku akhir. Keletihan pemain-pemain bintang Thailand telah menyebabkan prestasi mereka merosot.

Akibatnya, kedua-dua pasukan ini gagal memecahkan kebuntuan dan akhirnya seri tanpa jaringan.

7 Disember 2010

Siapa sangka Malaysia kini ada peluang untuk mara, selepas kelihatan telah dikubur hidup-hidup pada perlawanan pertama lagi?

Malaysia kini hanya perlu menang menentang Laos, pasukan terlemah di dalam kumpulan. Manakala Thailand pula perlu menang menentang Indonesia, tuan rumah yang kini sedang terbang tinggi selepas menjaringkan 11 gol dalam hanya 2 perlawanan.

Laos nampak mudah pada mulanya, apabila Amri Yahyah menjaringkan gol melalui diving header pada minit ke-4. Namun hanya 4 minit kemudian, Laos berjaya menyamakan kedudukan. Kedudukan ini kekal sehinggalah pada minit ke-41, apabila Amri Yahyah menambah bilangan gol peribadinya lantas menjadikan Malaysia mendahului Laos dengan hanya 1 gol pada masa rehat. Perjalanan Malaysia kini nampak tidaklah terlalu mudah. Sebelum perlawanan pun, pasukan Malaysia terpaksa terbang ke stadium yang terletak di pulau Sumatera dari pulau Jawa.

Malaysia akhirnya menang dengan jaringan 5-1, namun terpaksa menanti keputusan perlawanan Indonesia-Thailand yang bermula lewat. Masa hadapan Malaysia nampak malap apabila Thailand menjaringkan gol pendahuluan. Dan ketika perlawanan hanya berbaki 10 minit, kedudukan masih kekal. Sehinggalah apabila Mat Salleh Uruguay dijatuhkan oleh Panupong Wongsa untuk menghasilkan tendakan penalti bagi Indonesia. Bambang Pamungkas, penyerang yang pernah mencari rezeki di bumi Malaysia, bingkas menjaringkan penalti tersebut.

Bambang yang pernah mencari rezeki di bumi Malaysia, bertanggungjawab menunjukkan pintu keluar kepada Thailand.

Satu sama. Perlawanan masih berbaki 8 minit.

Pada minit-minit kecederaan, sekali lagi Panupong Wongsa telah menerima kad kuning – sekaligus kad merah, apabila menampan percubaan pemain Indonesia. Dan sekali lagi juga, Bambanglah yang mengambil sepakan penalti dan menyempurnakannya. Gelora Bung Karno ‘meletup’ dengan sorakan.

Thailand – gergasi bolasepak Asia Tenggara, telah tumpas kepada 2 sepakan penalti dan tersingkir daripada Piala AFF.

Malaysia yang sudah ‘mati’, kini hidup semula.

Robson sama sekali tidak menyangka tugasannya di Piala AFF akan ditamatkan sebegitu mendadak.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: