The Land Where My Blood Has Spilt – Part I

26 November 2011

“Saya pernah buat kerja gila sebelum ini.”

Selamba. Terbitnya tutur kata tersebut daripada bibir ketua jurulatih pasukan bolasepak kebangsaan Dato’ K. Rajagobal, ialah tatkala diajukan soalan mengenai kemampuan bintang remaja, Nazmi Faiz Mansor untuk mewakili pasukan utama negara.

Tiada siapa yang tahu apa sebenarnya yang beliau maksudkan dengan ‘kerja gila’ itu. Mungkin ia satu pengakuan. Mungkin juga sekadar sarcasm.

“Saya pernah buat kerja gila sebelum ini.”

Namun apa yang semua orang tahu ialah betapa Dato’ K. Rajagobal meletakkan nilai yang tinggi pada keremajaan. Dan setahun sebelum itu, sememangnya sesuatu yang memenuhi segala kriteria ‘kerja gila’ pernah dilakukan oleh beliau.

22 November 2010

K. Rajagobal, ketika ini belum lagi memiliki gelaran Dato’, sedang bersiap sedia untuk memulakan kempen sulung beliau sebagai ketua jurulatih dalam Piala AFF: kejohanan bolasepak terulung di rantau Asia Tenggara. Beliau baru sahaja kembali daripada menamatkan cabaran pasukan negara di Sukan Asia. Hanya 7 hari selepas menempuh 90 minit perlawanan menentang Iraq di Guangzhou yang terletak lebih 2 ribu kilometer dari Kuala Lumpur, skuad kebangsaan kini terpaksa memulakan latihan pusat untuk Piala AFF pula.

Satu perbezaan yang ketara antara kejohanan bolasepak di Sukan Asia dengan Piala AFF ialah umur pemain yang layak mengambil bahagian. Pertandingan di Sukan Asia mengehadkan umur pemain kepada 23 tahun, dengan hanya 3 pemain lebih umur dibenarkan memperkuat pasukan. Pertandingan di Piala AFF pula tidak mengenakan apa-apa had. Pendek kata, kejohanan bolasepak di Sukan Asia ialah pertandingan peringkat umur, manakala kejohanan bolasepak Piala AFF bukan.

Akal yang logik lagi rasional sudah pasti akan membayangkan betapa K. Rajagobal bakal memanfaatkan sepenuhnya peluang keemasan daripada kelonggaran peraturan Piala AFF ini, untuk memperkuat pasukan yang beliau bawa pulang dari Sukan Asia. Namun, apa yang terjadi kemudian, mungkin akan terpahat dalam sejarah sebagai salah satu antara ‘kerja gila’ yang pernah dibuat oleh Rajagobal.

Skuad Piala AFF yang dipilih oleh beliau rata-ratanya dipenuhi oleh pemain muda remaja: 22 daripada keseluruhan 30 orang pemain skuad berusia 23 tahun ke bawah. Pasukan tempatan yang memiliki wakil paling ramai dalam skuad Rajagobal bukanlah juara Piala Malaysia: Kelantan, mahupun juara Liga Super: Selangor. Sebaliknya pasukan tempatan yang memiliki wakil paling ramai ialah pasukan bawah 21 tahun negara: Harimau Muda A, dengan sejumlah 8 orang pemain di dalam skuad. Jika dibandingkan dengan skuad Piala Asia, Rajagobal sebenarnya telah menamakan 18 daripada 20 orang pemain skuad kejohanan bawah 23 tahun tersebut untuk ke Piala AFF.

Rajagobal, ingin membawa sekumpulan budak-budak ke dalam satu pertandingan orang dewasa.

Tidak mengapalah sekiranya pemain-pemain muda itu memiliki pengalaman. Namun rata-rata mereka memiliki kurang daripada 5 caps senior. Hanya 3 pemain berusia 25 tahun dan ke atas telah dipilih ke dalam skuad awal 30 pemain. Seorang daripada 3 pemain tersebut iaitu Norhafiz Zamani Misbah yang juga kapten pasukan, akan terlepas peluang ke Piala AFF akibat kecederaan. Manakala 2 orang lagi pemain senior, Amri Yahyah dan Razman Roslan, hanya dipanggil menyertai skuad 2 hari sebelum pasukan negara berlepas ke Jakarta bagi perlawanan pertama Piala AFF.

“Amri diserapkan kerana dengan pengalamannya yang luas dia mampu membimbing pemain muda di bahagian tengah dan serangan,” jelas Rajagobal.

“Saya terfikir mahu mengambil Amri selepas melihatkan aksinya ketika perlawanan persahabatan berdepan Selangor pada Jumaat lepas. Skuad ini sudah ramai pemain muda seperti Izzaq Faris Ramlan dan Faizal Abu Bakar. Oleh itu, kehadiran Amri amat diperlukan bagi mengimbangi skuad ini. Harus diingat, semua negara pada kejohanan ini kebanyakannya menampilkan pemain senior. Jadi amat penting kita membawa masuk pemain seperti Amri,” tambah Rajagobal, seolah-olah baru perasan bahawa Piala AFF bukanlah satu kejohanan peringkat umur.

Resipi menurunkan pasukan muda ini sebenarnya telah digunakan sebelum ini. Pada Piala Tiger 2002, Allan Harris pernah menurunkan skuad yang 14 daripada 20 pemainnya berusia 23 tahun dan ke bawah. Pasukan tersebut tewas di peringkat separuh akhir. Pada tahun 2008, B. Sathianathan pula membawa kesebelasan utama yang lebih muda: mengandungi 5 pemain di bawah 22 tahun. Pasukan tersebut terkandas di peringkat kumpulan lagi. Dan apabila pengurus pasukan, Dato’ Subahan Kamal menyatakan bahawa “Perkara utama untuk pasukan di sini ialah untuk pemain-pemain muda mendapat pengalaman yang mereka perlukan,” maka para peminat sudah mula merasakan yang resipi sama akan dikitar semula.

“Namun apa yang menimbulkan tanda tanya ialah mengapa Rajagobal terlalu berkeras tidak mahu memanggil pemain-pemain lain, sebaliknya cenderung untuk menamakan 4 pemain yang telahpun cedera ke dalam latihan skuad”

Rajagobal sebenarnya sudah lama kehilangan dua ayam tambatan kembar beliau: Aidil Zafuan Razak dan Zaquan Adha Razak, kedua-duanya akibat kecederaan lutut. Namun apa yang menimbulkan tanda tanya ialah mengapa Rajagobal terlalu berkeras tidak mahu memanggil pemain-pemain lain, sebaliknya cenderung untuk menamakan 4 pemain yang telahpun cedera ke dalam latihan skuad: Norhafiz Zamani Misbah (lutut kiri), Baddrol Bakhtiar (lutut kiri), Azmi Muslim (hamstring) dan Nasriq Baharom (buku lali). Kecederaan hamstring boleh mengambil masa 12 minggu untuk pulih, manakala kecederaan lutut boleh memerlukan pembedahan dan tempoh fisioterapi yang panjang. Rajagobal sepatutnya menerima hakikat betapa adalah mustahil untuk keempat-empat pemain ini pulih sebelum kejohanan bermula, apatah lagi untuk pulih semasa sesi latihan. Fakta ini akhirnya terbukti apabila kesemua mereka kemudiannya terpaksa digugurkan daripada skuad.

Jika digugurkan kerana cedera, mungkin tidak boleh buat apa melainkan redha. Tapi bayangkan pula apa perasaan 5 pemain ini: Indra Putra, Shukur Jusoh, Halim Zainal, Fandi Othman dan Thamil Arasu; yang dipanggil oleh Rajagobal untuk menjalani latihan pusat, kemudiannya digugurkan walaupun tidak cedera, dan selepas itu mereka mendapat tahu bahawa Amri Yahyah dan Razman Roslan yang tidak menjalani apa-apa latihan dengan skuad kebangsaan, tiba-tiba dipanggil untuk menaiki kapal terbang ke Jakarta?

Indra, Shukur Jusoh, Halim Zainal, Fandi Othman dan Thamil dipanggil menjalani latihan, pergi berlatih, digugurkan, dan kemudian melihat pemain yang tidak menjalani latihan menaiki kapal terbang ke Jakarta. Gambar daripada Berita Harian.

Apatah lagi sedangkan tuan yang empunya badan sendiripun terkejut “Saya terkejut mendapat panggilan Sabtu lalu. Selama ini saya tidak jangka akan mendapat panggilan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan. Kali terakhir saya bermain buat pasukan kebangsaan sebelum ini adalah ketika menentang Uzbekistan,” kata Amri. Rajagobal sama sekali tidak mempamerkan sebarang keyakinan terhadap Amri untuk menyenaraikan beliau dalam perancangan menghadapi Piala AFF – sejak perlawanan Kelayakan Piala Asia menentang Uzbekistan lebih setahun yang lepas. Setelah setahun masa berlalu, setelah mencuba berpuluh-puluh pemain, memanggil pemain yang cedera dan kemudian menyedari mereka cedera dan meminta mereka pulang, memanggil pemain yang tidak cedera dan kemudian meminta mereka juga pulang sahaja, tiba-tiba Rajagobal kelihatan seolah-olah menerima ilham daripada Tuhan untuk mengangkat telefon dan memanggil Amri pada pagi 27 November. Keyakinan? Ianya lebih mirip kepada afterthought yang tulen.

Persiapan yang dilakukan oleh pasukan Malaysia untuk Piala AFF sama sekali tidak menepati apa-apa kriteria untuk dilabel sebagai  ‘rapi’.

29 November 2010

Skuad negara berlepas ke Jakarta hanya 2 hari sebelum perlawanan utama malam pembukaan Piala AFF berlangsung: perlawanan antara mereka menentang tuan rumah, Indonesia.

Indonesia sekarang tidak sama dengan Indonesia yang dahulu.

Selain memiliki rekod cemerlang di dalam pertandingan Piala AFF sebagai finalis 3 kali, Indonesia juga kini telah diperkuat dengan pemain-pemain asing yang diimport sebagai warganegara. Indonesia, negara dengan populasi keempat terbesar di dunia, kini diwakili penyerang yang berbangsa Uruguay.

Cristian Gerard Alfaro Gonzales dilahirkan di Montevideo, Uruguay. Bapa beliau bukan orang Indonesia, dan begitu juga ibu beliau. Malah beliau juga bukan orang Indonesia, sehinggalah beliau diberikan pasport Indonesia segera pada 3 November 2010, hanya 27 hari sebelum tarikh perlawanan pertama Piala AFF.

Ketika mi instan pertama kali diperkenalkan kepada masyarakat Indonesia di tahun 1969, banyak yang meragukan bahawa mi instan dapat dijadikan sebagai salah satu bahan pangan pokok. Akan tetapi, karena mi instan sendiri harganya relatif terjangkau, mudah disajikan dan awet, Indomie berkembang pesat seiring dengan diterimanya mi instan di Indonesia.

Selain Gonzales, Indonesia juga kini memiliki pemain tengah kelahiran Belanda, Irfan Haarys Bachdim. Gelagat Indonesia yang menggunakan pemain import ini kelihatan janggal kerana Indonesia memiliki rakyat seramai 237 juta orang, paling ramai di antara kesemua negara-negara Asia Tenggara.

Indonesia sebenarnya lebih gelojoh apabila mahu mengimport 3 lagi pemain asing. Ketua Badan Tim Nasional (BTN) Iman Arif berkata bahawa pihaknya telah mengajukan nama-nama calon pemain import tersebut kepada Menteri Pemuda dan Olahraga (Menpora), “Tiga pemain lainnya yakni Jhonny Rudolf van Beukering (Belanda), Raphael Guillermo Eduardo Maitimo (Belanda), Kim Jeffrey Kurniawan (Jerman). Berkas Gonzales, Maitimo, dan Van Beukering sudah saya masukkan kemarin. Sementara itu, Kim sudah seminggu lalu saya masukkan berkasnya.

“Mudah-mudahan proses naturalisasi bisa selesai akhir bulan ini,” ujar Iman pada pertengahan bulan Oktober, hanya kira-kira sebulan sebelum tarikh akhir penamaan skuad Piala AFF. Sebagai tuan rumah edisi kali ini, Indonesia kelihatan begitu beriya-iya hendak mengganyang lawan-lawannya.

Aktiviti pengimportan pemain asing seperti ini telah dipelopori oleh tidak lain dan tidak bukan: Singapura. Singapura seperti biasa menunda angkatan importnya ke Piala AFF: Aleksandr Duric dari Bosnia, Agu Casmir dari Nigeria, Mustafic Fahrudin dari Serbia, Precious Emuejeraye dari Nigeria dan Daniel Bennett dari England. Apa yang sedikit melucukan ialah walaupun Indonesia meniru Singapura untuk mengimport pemain asing, namun populasi Indonesia ialah 47 kali ganda lebih besar daripada Singapura.

Serbia, Nigeria, Bosnia, China, England. Singapura – ‘tokan’ besar aktiviti pengimportan pemain asing.

Tidak ketinggalan dalam kumpulan ‘matlamat menghalalkan cara’ ini ialah Filipina. Tidak padan dengan status budak baru, Filipina kini merampas teraju pengimport terbesar daripada Singapura, apabila menurunkan sehingga 8 pemain asing dalam kesebelasan utama: Neil Etheridge dari England, Robert Gier dari England, James Younghusband dari England, Phil Younghusband dari England, Alexander Borromeo dari Amerika Syarikat, Jason de Jong dari Belanda, Chris Greatwich dari England dan Ray Jonsson dari Iceland. Berbanding Singapura, apa yang sedikit berbeza tentang tindakan Filipina mengimport pemain ialah mereka hanya mengambil pemain-pemain asing yang memiliki darah keturunan ‘bau bacang’ Filipina.

Nampak macam muka orang Filipina?

Sudahlah datang dengan pasukan muda remaja. Kini Rajagobal bukan sahaja akan berhadapan dengan pasukan dewasa, malah pasukan yang dipenuhi pemain-pemain import asing.

Dan aktiviti pengimportan ini tidak terhenti pada pemain sahaja. Thailand – juara 3 kali dan naib juara 2 kali, kini dilatih oleh lagenda England dan Manchester United, Bryan Robson.

Thailand sebelum ini sudah cukup kuat. Kini ia dilatih lagenda England dan Manchester United, Bryan Robson.

Thailand, gergasi bolasepak Asia Tenggara – diundi di dalam kumpulan yang sama dengan Malaysia dan tuan rumah, Indonesia.

Adakah kerja yang lebih ‘gila’ daripada cabaran yang menanti ‘budak-budak’ Rajagobal di Jakarta? [Bersambung]

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: