The Big Short Goreng Pisang

9 Mac, 2016

Ini ialah suatu kisah yang tidak mungkin akan diceritakan oleh pihak media yang berkepentingan.

Pada Januari 2014, liga baseball profesional Taiwan, CPBL, telah menandatangani perjanjian berkaitan hak penyiaran yang paling lumayan dalam sejarah mereka. Perjanjian tersebut menjamin pendapatan sebanyak kira-kira 357 juta dolar Taiwan setahun, berbanding 172 juta dolar Taiwan yang dibayar penyiar sebelum ini, Videoland Inc. Ia ditandatangani dengan MP & Silva.

Pada Januari 2015, FAM telah menandatangani perjanjian berkaitan hak penyiaran yang paling lumayan dalam sejarah mereka. Perjanjian tersebut menjamin pendapatan sebanyak RM70 juta setahun, berbanding RM30 juta yang dibayar penyiar sebelum ini, Astro. Ia juga ditandatangani dengan MP & Silva.

“RM70 juta setahun. Wujudkah pasaran untuk hak penyiaran liga tempatan semahal RM70 juta di Malaysia?”

RM70 juta setahun. Wujudkah pasaran untuk hak penyiaran liga tempatan semahal RM70 juta di Malaysia? Ini satu persoalan yang layak bermain di fikiran para pendukung bolasepak tempatan. Sudah tentu pasaran ini tidak boleh disamakan dengan pasaran goreng pisang berharga 20 sen seketul. Ini kerana pasaran goreng pisang memiliki berpuluh-puluh malah beratus pelanggan berpotensi, manakala pasaran untuk hak penyiaran di Malaysia hanya ada: tiga pelanggan.

Tiga pelanggan berkenaan ialah Zenith-IMG Sports, TM-Media Prima dan Astro-Fox International. Media Prima dan Astro ialah dua stesen penyiar yang sudah lama bertapak di negara ini, selain RTM yang merupakan stesen penyiar kerajaan. Namun, tanpa sebarang tawaran yang bermakna daripada RTM, maka bolehlah dianggap bahawa kerajaan Malaysia pun tidak mampu untuk menjadi pelanggan goreng pisang ini.

ZeniBluSolo

Zenith-IMG Sports, TM-Media Prima, Astro-Fox International, kesemuanya menyertai tender untuk membeli hak penyiaran Liga M daripada FAM. Pemenangnya? Tiada dalam gambar.

Apabila goreng pisang anda hanya memiliki potensi untuk dijual kepada salah seorang daripada tiga pelanggan, maka saiz pasarannya ialah: seorang pelanggan. Ini adalah satu pasaran yang sempit. Ini bermakna goreng pisang berkenaan perlulah menjadi makanan lazat lagi ruji bagi kelangsungan hayat, yang wajib dibeli si pelanggan.

Malangnya, ia bukan.

“Makanan ruji bagi Astro bukanlah hak penyiaran Liga M, tetapi hak penyiaran EPL.”

Makanan ruji bagi Astro bukanlah hak penyiaran Liga M, tetapi hak penyiaran EPL. Ini kerana lebih daripada separuh pelanggannya yang berjumlah 4.2 juta, ialah pelanggan pakej sukan. Oleh sebab itulah Astro sanggup (atau terpaksa) melaburkan lebih daripada RM300 juta setahun (10 kali ganda daripada nilai yang sanggup dibayarnya untuk liga tempatan) bagi hak penyiaran liga bolasepak sebuah negara asing yang terletak 10,000 km jauhnya.

Ini hanyalah bisnes. Pasaran untuk Liga M hanya terdiri daripada kaum Bumiputra, yang rata-ratanya pun Melayu. Pasaran ini dapat diterjemahkan kepada kurang 50.1% daripada populasi Malaysia. Manakala pasaran untuk EPL pula ialah semua kaum: Cina, India, bumiputra Kadazan, Iban, Orang Asli, termasuklah juga, kaum Melayu.

Maknanya goreng pisang ini bukanlah makanan ruji, sebaliknya hanya snek di waktu petang. Tiada pelanggan yang akan kebulur kerana tidak memakan snek. Makan sahajalah nasi. Media Prima contohnya, boleh sahaja hidup selama 4 tahun daripada 2011-2014 tanpa hak penyiaran Liga M, dengan berbekalkan diet ruji Buletin Utama dan drama Melayu pukul 7. Jadi, mengapa mereka perlu bergolok bergadai untuk menawarkan puluhan juta semata-mata untuk membeli snek petang Liga M yang tidak diperlukannya ini?

Apabila tidak diperlukan, maka pelanggannya juga tidak ramai. Sudahlah pelanggannya tidak ramai, malah mereka dilayan dengan buruk pula. Pada penghujung tahun 2014, Astro-Fox International, TM-Media Prima dan Zenith-IMG Sports telah menawarkan harga masing-masing untuk bertarung merebut tender hak penyiaran Liga M:

  1. Astro-Fox menawarkan RM50 juta;
  2. TM-Media Prima menawarkan RM55 juta; dan
  3. Zenith-IMG Sports dengan tawaran tertinggi sebanyak RM75 juta.

Siapakah yang menilai tender tersebut? Pada 28 Oktober 2014, The Edge Financial Daily telah melaporkan bahawa para pegawai FAM tidak berpuas hati dengan perlantikan Hashim Natt untuk menilai tender berkenaan. Hashim telah dilantik oleh Timbalan Presiden FAM yang baru memenangi jawatan dalam Kongres FAM pada tahun yang sama, iaitu Datuk Mokhtar Ahmad. Malah, Hashim dikhabarkan memiliki hubungan persaudaraan dengan Mokhtar. Ini bagaimanapun telah dinafikan oleh Mokhtar.

penasihat

The Edge Financial Daily melaporkan pegawai FAM tidak berpuas hati dengan perlantikan penasihat tender (tiada dalam gambar).

Tidak sampai sebulan kemudian, media melaporkan bahawa Kevin Ramalingam dan syarikatnya Red Card pula dilantik sebagai konsultan untuk penilaian tender. Apabila Mokhtar ditanya mengenai perlantikan Kevin, beliau menjawab “lebih baik soalan-soalan ini diajukan kepada tuan Presiden”. Mana pula para pegawai FAM yang tidak berpuas hati dengan perlantikan Hashim Natt sebelum ini? Semuanya diam.

Goreng pisang ini kelihatan semakin panas.

Siapakah yang memenangi tender hak penyiaran tersebut? Pada Januari 2015, apabila pengumuman berkaitan hak penyiaran dibuat oleh FAM, Zenith-IMG Sports yang menawarkan jumlah tertinggi tidak diumumkan sebagai pemenang tender. Jadi, adakah TM-Media Prima pemenangnya? Pun tidak. Begitu juga Astro-Fox Sports. Nampaknya, ketiga-tiga pihak seolah-olah telah dipermainkan dalam satu proses tender yang tiada pemenang.

Sebaliknya, FAM telah memutuskan, ataupun mungkin konsultannya yang memutuskan, perlantikan MP & Silva sebagai ‘penasihat hak media’. Konsultan itu kemudiannya telah dilantik menjadi CEO syarikat usahasama FAM-MP & Silva, iaitu FMLLP. Berikut ialah gambar konsultan tersebut:

kevin

Kevin Ramalingam dilantik sebagai konsultan untuk menilai tender. Apabila pembentukan syarikat FMLLP oleh FAM dan MP & Silva diumumkan, beliau dilantik sebagai CEO syarikat tersebut. Kevin ada di dalam gambar di atas.

Nampaknya FAM telah melantik penasihat hak media, setelah melantik konsultan dan penasihat tender.

FAM -> penasihat tender -> konsultan -> penasihat hak media.

Apa maknanya semua ini? Ini maknanya FAM, dengan barisan Exco pemakai blazernya: tidak cukup bijak untuk membuat keputusan bagi masa hadapan bolasepak Malaysia. Mereka yang telah berhempas pulas untuk merebut jawatan di dalam Kongres FAM paling sengit dalam sejarah (sehingga jawatan Presiden dipertandingkan) sebelum penswastaan dilaksanakan, malangnya kini umpama boneka. Disailang oleh pihak yang lebih berkuasa.

kongres

Barisan Exco FAM tidak cukup bijak untuk membuat keputusan yang menentukan masa hadapan bolasepak negara. Ia ditentukan oleh penasihat tender, konsultan dan penasihat media (tiada dalam gambar).

MP & Silva yang dilantik sebagai ‘penasihat hak media’, telah menjanjikan RM1.26 bilion sepanjang tempoh 15 tahun kepada FAM. Big money. Pasukan-pasukan liga sudah mula mengimpikan jumlah geran tahunan yang lebih besar, sepertimana pendapatan hak penyiaran dibahagi-bahagikan kepada kelab EPL. Barisan Exco FAM pula mula menyaksikan sinar era baru kemakmuran bolasepak tempatan.

EPL

Bayaran Equal Share, Overseas TV dan Central Commercial adalah sama rata kepada semua kelab-kelab EPL. Ini antara sumber pendapatan utama mereka, terutamanya kepada kelab-kelab yang lebih kecil.

Malangnya, MP & Silva bukanlah stesen penyiar.

MP & Silva tiada wartawan, tiada pengulas perlawanan, tiada krew, tiada kamera: ia hanyalah ‘penasihat hak media’, bukannya pelanggan hak media. Siapakah pelanggan hak media? Pelanggan hak media masih tetap Media Prima, Astro, RTM: rangkaian stesen-stesen penyiar tempatan.

“Situasi ini seolah-olah seperti cubaan menjual goreng pisang 20 sen seketul kepada seorang pelanggan, tetapi kemudian menaikkan harganya kepada 30 sen seketul setelah meludah muka pelanggan tersebut.”

Maka, MP & Silva yang bukan stesen penyiar kini terpaksa menjaja sekali lagi hak penyiaran kepada stesen-stesen penyiar tempatan yang telah dipermainkan dalam proses tender pertama sebelum ini. Bezanya, dalam proses tender terdahulu, Media Prima dan Astro masing-masing telah menawarkan jumlah sebanyak RM50-55 juta setahun. Kini setelah Media Prima dan Astro ‘dipermainkan’, mereka diharapkan untuk membayar harga yang lebih mahal, iaitu RM70 juta pula. Situasi ini seolah-olah seperti cubaan menjual goreng pisang 20 sen seketul kepada seorang pelanggan, tetapi kemudian menaikkan harganya kepada 30 sen seketul setelah meludah muka pelanggan tersebut. Layanan yang buruk.

Ini semuanya berlaku dalam pasaran yang hanya ada tiga pelanggan.

Pada 2015, maka bermulalah musim kelam-kalibut bagi Liga M. Pasukan Liga Super yang menerima geran sebanyak RM350,000 sebelum ini, kini dilaporkan hanya bakal menerima bayaran di akhir musim. Jumlah bayaran? Berdasarkan merit. Berbeza daripada pembahagian hak penyiaran EPL, pasukan-pasukan Liga M sebagai pemegang taruh tidak akan menerima bahagian terbesar daripada pendapatan hak penyiaran. Sebaliknya, FAM yang akan menerima bahagian terbesar sebanyak 40%, kononnya sebagai “pemegang hak milik intelektual Liga-M”.

Seolah-olah rakyat Malaysia mengikuti Liga M untuk menonton muka-muka Exco FAM, dan bukannya pasukan-pasukan yang bertanding.

0:55: “Jadi ianya bukan seperti geran.” – Presiden FAM

Era kemakmuran yang diharap-harapkan kini kelihatan lebih menyerupai era mimpi ngeri. Tanpa penyiar rasmi pada 2015, RTM telah menerima ihsan hak-hak penyiaran beberapa perlawanan. Banyak perlawanan yang tidak dapat disiarkan. Situasi ini tidak ubah seperti kekelam-kabutan yang melanda liga baseball CPBL, apabila MP & Silva telah menjual hak penyiaran kepada Sportcast, dan perlawanan hanya disiarkan di internet berbanding televisyen.

Bahkan, musim Liga M 2016 terpaksa dianjakkan sehingga ke bulan Februari, ketika Media Prima akhirnya diumumkan sebagai pemegang hak penyiaran sehari sebelum liga bermula. Kelewatan ini diakibatkan oleh tender kedua hak penyiaran yang bermula lambat. Jadual liga menjadi padat. Berapa pula harga yang telah ditawarkan oleh Media Prima kali ini? Mungkin tidaklah sebanyak RM55 juta, sepertimana yang ditawarkan pada 2014 ketika Media Prima bergabung tenaga dengan TM. Jika MP & Silva tidak menerima RM70 juta setahun, berapa banyakkah pula wang yang terpaksa dikeluarkannya untuk mengotakan janji pulangan RM70 juta setahun kepada FAM?

tender

Setelah setahun tanpa penyiar rasmi pada 2015, proses pencarian pelanggan hak media dijangka telah sempurna sebelum musim 2016 bermula. Sebaliknya, tender dimulakan lewat & liga bermula pada bulan Februari.

Walau apapun, tahun 2015 dalam ertikata penyiaran dan pendapatan kepada industri bolasepak tempatan, telah menjadi tahun yang ghaib.

Pada 20 Julai 2014, hampir 6 bulan selepas menandatangani kontrak hak penyiaran dengan liga baseball profesional Taiwan CPBL, MP & Silva telah mengumumkan penamatan kontrak pada waktu yang menghairankan, iaitu pada pukul 3 pagi. 5 hari kemudian, Pengerusi CPBL, Huang Zhen-tai pula meletakkan jawatan. Adakah sejarah konflik penyiaran liga baseball Taiwan ini bakal berulang kepada sukan bolasepak pula di Malaysia? Di Malaysia, realitinya ialah keputusan Presiden untuk meletakkan jawatan telahpun ditolak oleh para Exco FAM, walaupun mereka telah disailang. Inilah Malaysia.

Maka makan sahajalah goreng pisang, snek petang kegemaran rakyat Malaysia.

CPBL

Pengerusi CPBL, Huang Zhen-tai meletakkan jawatan 5 hari selepas MP & Silva menamatkan kontrak penyiaran dengan liga baseball tersebut. Ini gambar beliau.


 
%d bloggers like this: