Sebab Mengapa Peralihan Jawatan Presiden FAM Membantu Bolasepak Tempatan (Versi Buta Jawi)

1. Maruah Negara Terpelihara

Kegagalan ulung FAM secara kebetulan telah berlaku baru-baru ini: iaitu pada bulan Julai lepas. Ketika itu, pasukan kebangsaan bawah 22 tahun telah dinafikan tempat ke pusingan akhir Piala Asia B- 22- apabila tewas tipis 1-2 di tangan tuan rumah, Myanmar.

Lebih mendukacitakan ialah terdapat bukti bahawa Myanmar telah menurunkan sekurang-kurangnya 3 orang pemain lebih umur: termasuk kapten dan penjaring kedua-dua gol Myanmar ketika perlawanan menentang Malaysia. Namun apa yang paling mengejutkan ialah FAM lebih selesa menjadi dayus kerana enggan mengesahkan bantahan kepada pihak AFC!

Tambah menjelikkan ialah apabila disoal oleh wartawan mengenai kewujudan bukti penipuan Myanmar, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad menjawab “Saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu, itu sesuatu yang baru.” Alangkah meloyakan jawapan yang diberikan itu bila difikirkan ia datang daripada mulut seorang pemimpin yang dipertanggungjawab dan diamanahkan kuasa untuk memelihara maruah negara di arena sukan antarabangsa. Tambah beliau “FAM juga berhati-hati agar perkara ini tidak memberi implikasi yang tidak baik kepada imej dan hubungan Malaysia dengan negara ASEAN.”

Apa yang ‘baik’ tentang kena tipu?

“Saya tidak dimaklumkan.” Come on! (Gambar daripada Harian Metro)

Gelagat seperti ini sudah menjadi semacam lumrah bagi FAM: barisan kepimpinan FAM yang dikepalai Presiden lebih cenderung memilih jalan yang selesa dan enak-enak untuk memelihara kepentingan tertentu. Sebaliknya realiti yang patut mereka telan ialah tidak pernah wujud jalan mudah dalam perjuangan memelihara maruah negara. Jika Presiden FAM tidak sanggup hendak ‘bergaduh’, bertikam lidah dan menanggung risiko-risiko lain dalam perjuangan, maka negara memerlukan jawatan tersebut diberikan kepada mereka yang sanggup.

Zaw Zaw, Pengerusi Persekutuan Bolasepak Myanmar memeluk erat Sepp Blatter ketika kunjungan ke Myanmar pada tahun lepas. FIFA kemudiannya disiasat oleh pihak berkuasa Switzerland berkaitan kunjungan tersebut.

2. Hapuskan Napoleon Kecil

Presiden FAM ialah “the single most powerful man in Malaysian football“. Baginda telah membelanjakan berjuta-juta ringgit wang baginda sendiri semata-mata kerana kecintaan baginda terhadap bolasepak. Baginda ialah Presiden FAM yang juga Presiden AFF yang juga Presiden AFC selama 8 tahun daripada 1994 sehingga 2002. Tiada orang yang lebih berkuasa daripada baginda dalam bolasepak tempatan. Baginda boleh mengangkat jari telunjuk baginda dan menitahkan sesiapa sahaja yang melacurkan bolasepak tempatan untuk kepentingan peribadi agar dipecat serta-merta.

Malangnya perkara tersebut tidak berlaku.

Selain ‘bacul’, FAM juga berjaya menobatkan Malaysia sebagai ‘badut’ ulung yang diraikan oleh media antarabangsa.

FAM berulang-ulang kali melakukan kesilapan yang menjahanamkan bukan sahaja imej bolasepak tempatan, malah imej tanah tumpah darah kita sendiri.

FAM kelihatan gelojoh apabila membenarkan penganjuran Jelajah Asia Manchester United ketika Piala Asia 2007 sedang berlangsung, sehingga mengundang kecaman hebat FIFA.

FAM sewenang-wenangnya merelakan maruah negara diperkotak-katik dan diaibkan oleh sindiket perjudian dalam skandal ‘Asiagate’ yang membabitkan Zimbabwe.

Apa jenis keuntungan lagi yang mahu dikaut melalui persekongkolan dengan agen-agen penganjuran perlawanan-perlawanan sarkas ini?

Perlawanan ‘persahabatan’ tahap ‘A’ menentang Zimbabwe rupa-rupanya ialah perlawanan sarkas melawan kelab Monomotapa United FC. FAM nampak bodoh tiada siapa yang kisah, masalahnya tanah tumpah darah kitapun nampak bodoh. (Gambar daripada Harian Metro)

Tidak cukup dengan itu, FAM sanggup menaikkan harga tiket final Piala Malaysia kepada RM50 walaupun di saat sambutan penonton terhadap bolasepak tempatan terlalu nazak. Bayangkan, Timbalan Presiden FAM sendiri, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, terpaksa merayu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan dan Setiausaha Agung FAM untuk mengurangkan harga tiket? Jenaka jenis apakah yang cuba diketengahkan ini sehingga keputusan yang memberi impak sebegitu besar tidak dimaklumkan kepada Timbalan Presiden sendiri?

2 Timbalan Presiden FAM, bersama Presiden PBNS dan Menteri Belia dan Sukan tidak tahu-menahu mengenai keputusan menaikkan harga tiket final Piala Malaysia kepada RM50. Wayang lawak apakah yang cuba ditonjolkan ini?

Nyata kini FAM telah dijangkiti Napoleon kecil, parasit-parasit yang mahu menyedut sebanyak mungkin keuntungan selama memegang jawatan di dalam organisasi tersebut. Presiden FAM telah terlalu ‘play safe‘, bertindak terlalu ‘gentleman‘ sehingga tidak tergamak untuk menyakiti hati parasit-parasit ini. Jika Presiden FAM  sayangkan bolasepak tempatan, biarlah insan lain yang sanggup menyinsing lengan dan mencemar duli untuk mengambil alih jawatan Presiden dan seterusnya berhadapan dengan mereka.

3. Beri Kerja Kepada Mereka Yang Mahu Bekerja

Jawatan dalam FAM ada yang dipertandingkan dan ada yang tidak. Ada yang sedar bahawa jawatan yang mereka pegang juga diidami oleh ramai orang lain, selain tempoh perkhidmatan adalah terhad. Ini membuatkan mereka bekerja keras untuk meninggalkan jasa yang mampu dikenang buat selama-lamanya

Ada juga yang sudah berzaman-zaman menjadikan Wisma FAM sebagai tempat bermastautin. Tapi tiada satu habuk kemajuanpun yang mereka bawa kepada bolasepak tempatan.

Bila berbicara tentang bolasepak tempatan, kita jangan hanya lihat pada ranking kebangsaan. Itu sudah memang tidak boleh cakap apa: memang sudah lama jahanam. Sebaliknya kita datang sendiri ke stadium ketika perlawanan liga tempatan: ia semakin kosong. Penaja-penaja telah lama lari. Pasukan-pasukan semakin banyak yang bungkus. Bolasepak tempatan kini nazak.

Ketika bolasepak tempatan dahagakan sumber kewangan, FAM terpaksa mengemis daripada KBS untuk menaja Harimau Muda. Presiden FAM serba sedikit terpaksa mengeluarkan wang daripada poket baginda sendiri untuk perbelanjaan pasukan kebangsan. Namun gunung ditarahpun akan rata. Apa yang sebenarnya diperlukan FAM bukanlah duit: sebaliknya individu yang sanggup bekerja untuk mencari duit.

Pertemuan yang mengubah sejarah: delegasi FAM mengemis bantuan KBS untuk menaja Harimau Muda pada Februari 2009. Pada Disember tahun yang sama, Malaysia menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA, diikuti kejuaraan sulung Piala AFF tahun berikutnya, dan kemudian kejayaan mempertahankan pingat emas Sukan SEA pada 2011. (Gambar daripada Utusan Malaysia)

Sudah tiba masanya untuk FAM berkerja dan bukan mengemis untuk wang. Bolasepak Malaysia perlu beralih hala tuju daripada bergantung harap terhadap sumbangan segelintir individu, kepada mengembalikan semula sumbangan penaja-penaja korporat. Pembangunan bidang pemasaran dan penajaan korporat, sepertimana yang diikhtirarkan oleh Tan Sri Annuar Musa menerusi jenama pasukan Kelantan, kini menjadi peneraju di kalangan mana-mana pasukan Liga Super.

Bahkan, Tan Sri Annuar Musa telah membentuk Malaysia Super League Sdn. Bhd. yang baru-baru ini telah menganjurkan Bengkel Pemasaran dan Pembangunan Penyokong Kelab untuk setiap pasukan, dan tidak terhad kepada pasukan Kelantan sahaja. Apa sebenarnya sebab mengapa Tan Sri Annuar Musa bersusah-payah untuk membentuk sebuah syarikat seperti MSL? Adakah beliau merasakan tangan beliau terikat ketika bekerja di bawah payung FAM, dan MSL menawarkan ruang yang lebih bebas untuk merealisasikan idea beliau?

Apa yang pasti kini ialah individu seperti Tan Sri Annuar Musa telah dipecat. Yang tinggal di FAM ialah individu-individu yang melihat FAM sebagai lubuk duit untuk pencen.

Apakah ini sebenarnya yang dimahukan oleh Presiden FAM?

Jika bukan, maka adalah sangat mustahak bagi Presiden FAM untuk memikirkan sedalam-dalamnya mengenai peralihan jawatan tersebut kepada individu yang benar-benar ikhlas dan berminat, sebelum bolasepak tempatan dibiarkan berkubur begitu sahaja.

Individu yang bekerja untuk mendapatkan tajaan kini dipecat. (Gambar daripada Berita Harian)

Advertisements

3 Respons to “Sebab Mengapa Peralihan Jawatan Presiden FAM Membantu Bolasepak Tempatan (Versi Buta Jawi)”

  1. oooooooooo…pasal nak up anuar musa rupanya….

    • Siapa sahaja asalkan maruah negara terpelihara.

      Hipokrasi ialah mendabik dada mengaku sokong Malaysia tapi tidak kisah maruah Malaysia dipijak.

      • ultra hipokrit adalah satu contoh tahap intelektual yang lemah di kalangan rakyat tempatan, satu perkara yang biasa berlaku di FAM. mungkin kerana tidak di hantar tuisyen oleh ibunya ketika bersekolah dulu walaupun sering mendapat tempat tercorot di dalam kelasnya, ultra hipokrit ini adalah lambang kebodohan yang abadi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: