Pra-Piala AFF 2012: Inikah Barisan Kita? (Bahagian 3)

Ke Bintang Kejora

Tempoh setahun setengah ialah waktu yang cukup panjang untuk mengubah seseorang.

Jika dahulu Rajagobal seolah-olah mengamalkan diskriminasi terhadap pemain berusia 25 tahun dan ke atas, kini Rajagobal sudah mahu menamakan skuad dengan 8 pemain yang berumur 25 tahun, selain 6 pemain yang sudahpun melangkau usia tersebut. Rajagobal kelihatan berada dalam acuan jurulatih yang sama seperti Arsene Wenger: lebih cenderung mengendalikan pasukan muda daripada pasukan berusia, semata-mata kerana inginkan kemudahan untuk ‘melentur buluh daripada rebung’. Namun Wenger juga kini sudah menerima hakikat betapa pengalaman itu perlu dan mula membuka pintu kepada pemain-pemain seperti Mikel Arteta dan Per Mertesacker.

Jika dahulu Rajagobal lebih gemar memperjudi nasib dengan memanggil sekumpulan pemain-pemain cedera (Zamani – lutut kiri; Baddrol – lutut kiri; Azmi Muslim – hamstring; Nasriq – buku lali) ke dalam latihan skuad walaupun mustahil untuk mereka sempat pulih sebelum Piala AFF bermula; kini beliau lebih realistik dan menghantar pulang Khyril Muhymeen dan Faiz Subri untuk digantikan dengan Azmi Muslim dan Azamuddin Akil.

Jika dahulu Rajagobal lebih suka bertaruh dengan menurunkan Fakri Saarani yang hanya menjaringkan 2 gol di sepanjang musim Liga Super, kini beliau bertindak bijak apabila memanggil penyerang-penyerang proven seperti Shakir Ali (9 gol dalam Liga Super), Azamuddin Akil (7 gol dalam Liga Perdana) dan Safee Sali (16 gol dalam Liga Super Indonesia).

Alex. Gambar daripada Berita Harian.

Jika dahulu Rajagobal menurunkan sehingga 4 orang pemain Harimau Muda A dalam kesebelasan utama, kini Rajagobal hanya menurunkan seorang.

Adakah ini bermakna bahawa Rajagobal tidak memberikan ruang untuk anak-anak buah Ong Kim Swee, sepertimana beliau tidak memberikan ruang kepada anak-anak buah Sathianathan, Bicskei dan Allan Harris sebelum ini?

Mungkin apa yang Rajagobal mahu buat ialah sekadar memberikan peluang kepada pemain-pemain yang telah membuktikan keupayaan mereka di liga-liga tempatan. Pemain-pemain seperti Shahurain Abu Samah, Bunyamin Umar dan S. Subramaniam. Pemain-pemain seperti Azamuddin Akil, Amirizwan Taj, Shakir Shaari dan Faiz Subri yang tidak pernahpun mewakili Malaysia di kejohanan peringkat umur.

Rajagobal telah berubah.

A changed man. Gambar daripada NST.

Samada kekecewaan akibat kecundang dalam Kelayakan Piala Duniakah yang telah mengubah beliau, ataukah kekalahan mengaibkan 0-5 kepada Australia dalam perlawanan persahabatan berstatus ‘A’, malah mungkin keberkesanan yang ditunjukkan oleh falsafah pemilihan Ong Kim Swee; itu kita tidak akan dapat tahu. Apa yang penting, perubahan beliau akan mengembalikan keyakinan dan keceriaan kepada para peminat bolasepak tanahair.

Dengan kembalinya Mat Yo dan Aidil Zafuan ke dalam pasukan, Rajagobal akhirnya boleh melengkapkan tulang belakang pasukannya bersama-sama Apek dan Safiq Rahim.

Transformasi Rajagobal telah memberikan kesan langsung kepada prestasi pasukan di atas padang. Azamuddin berlari seolah-olah beliau sudah lama berada dalam pasukan kebangsaan. Gurusamy mengejar lawan seolah-olah beliau jelmaan Makelele. Aidil sentiasa classy sejak menyertai Piala Nike ketika beliau masih remaja. Amirizwan mendahului Duric untuk memenangi hantaran-hantaran tinggi. Shakir Ali menjaringkan gol kelas dunia dengan tandukan flick. Apek menjadi penganggur paling lumayan di atas padang.

Alangkah indahnya menjadi seorang peminat Malaysia malam kelmarin.

Hanya Bunyamin sahaja yang sedikit menghampakan apabila beliau merempuh Fahrudin Mustafic. Beliau perlu ingat bahawa David Beckham pernah dibuang padang akibat retaliation yang jauh lebih ringan daripada itu. Bunyamin lebih berusia daripada Mahali dan seharusnya kelakuan beliau mencerminkan perbezaan umur tersebut. Selain Bunyamin, Steve Darby, ketika mengulas perlawanan antara Malaysia dan Singapura, telah menekankan bahawa walaupun Alex banyak menyumbang kepada serangan, namun beliau kurang cekap ketika marking pemain lawan dalam situasi setpiece. Alex memang berada di sisi pemain lawan tetapi beliau seolah-olah tidak berbuat apa-apa untuk menghalang pemain lawan mendapatkan bola tinggi. Namun menurut Steve Darby lagi, kemahiran marking ini ialah sesuatu yang boleh dilatih (coachable).

Rajagobal masih memiliki pilihan beberapa pemain berkebolehan tinggi yang boleh diserapkan ke dalam kesebelasan utama. Pemain-pemain ini termasuklah Nazmi Faiz Mansor, Fandi Othman, Syahrul Azwari dan Hazwan Bakri yang berkhidmat dengan pasukan Ong Kim Swee, Khyril Muhymeen dan Wan Zack Haikal yang cedera, selain Baddrol Bakhtiar yang tidak dimasukkan langsung ke dalam skuad.

Mungkin ramai yang masih tertanya-tanya apa yang mampu dicapai sekiranya kesebelasan utama ini yang diturunkan ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia tahun lepas. Namun peristiwa itu sudahpun berlalu dan barang yang lalu usahlah dikenang.

Untuk masa hadapan, inilah barisan kita.

Demi cintaku padamu
Ke manapun akan kubawa
Ke hujung dunia ke bintang kejora

Demi cintaku padamu
Kukorbankan jiwa dan raga
Biarpun harus kutelan lautan bara

[Kembali ke Laman Utama]


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: