Pra-Piala AFF 2012: Inikah Barisan Kita? (Bahagian 2)

Musnahlah Ilham, Hilang Pedoman

Andai dipisah
Laut dan pantai
Musnahlah ilham
Hilang pedoman

Siapa sangka bulan madu itu akan ditamatkan secara mendadak hanya kurang tujuh bulan kemudiannya.

Malaysia, juara Piala AFF, kini akan menghadapi perlawanan kompetitif pertamanya sejak ditabalkan menjadi raja bolasepak ASEAN: iaitu perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura: lawan yang berjaya dielakkan dalam Piala AFF 2010.

Datuk K. Rajagobal: dengan gelaran baru beliau, kini melangkah dengan keyakinan berlipat kali ganda bahawa anak-anak buahnya akan berupaya untuk mencipta keajaiban buat kali kedua. Ketika Singapura beriya-ia menamakan bakat-bakat asing untuk memperkuat pasukan mereka, Rajagobal merasakan cukup sekadar dengan dua pertukaran kepada kesebelasan utama yang telah memenangi Piala AFF.

Dua pertukaran tersebut bakal menimbulkan tanda tanya sehinggalah ke hari ini.

Rajagobal berpendapat bahawa posisi yang dipegang oleh Amirul Hadi di Piala AFF memerlukan satu pembaharuan. Ini satu pendapat yang dikongsi oleh ramai pihak. Namun, apa yang paling mengejutkan ialah Rajagobal menggantikan Amirul Hadi, bukan dengan seorang pemain berpengalaman seperti Baddrol Bakhtiar, sebaliknya dengan seseorang yang tidak memiliki apa-apa cap sebelum ini, iaitu Ismail Faruqi Ashari. Rajagobal malah menambah bahawa Ismail Faruqi dipilih kerana beliau tidak dikenali oleh Singapura.

Bagaikan seorang murid sekolah yang baru sahaja meraih kemenangan sulungnya di mesin kuda, ketagihan Rajagobal terhadap pertaruhan semakin menjadi-jadi.

Sesuatu yang lebih mengejutkan bakal berlaku. Tatkala para peminat bolasepak tanahair gelisah kerana kehilangan Mat Yo, tonggak paling berpengaruh ketika Piala AFF, Rajagobal menamakan Ahmad Fakri Saarani, seorang penyerang yang hanya menjaringkan dua gol di sepanjang musim Liga Super sebagai pengganti beliau.

Ayam tambatan Rajagobal. Bagi beliau, Fakri mampu menggantikan Mat Yo.

Jika perjudian Rajagobal telah menghasilkan keajaiban pada 2010, pada tanggal 23 Julai 2011 di Stadium Jalan Besar, bala dan malapetaka yang akan menimpa.

Malaysia telah dibelasah 4-1 oleh Singapura pada separuh masa pertama. Rajagobal yang seolah-olah menyesal atas pertaruhannya, telah menggantikan Ismail Faruqi dengan Amirul Hadi hanya seminit selepas separuh masa kedua bermula.

Namun keadaan menjadi bertambah buruk apabila kapten pasukan, Safiq Rahim kemudiannya dibuang padang pada minit ke-50. Walaupun seorang pemain Singapura juga dibuang padang kurang 5 minit kemudian, Malaysia masih buntu untuk merapatkan jurang jaringan.

Situasi mula bertukar apabila Fakri Saarani dikeluarkan dan digantikan oleh penjaring terbanyak Liga Super ketika itu, Hadi Yahaya. Hanya beberapa minit setelah beliau diturunkan, Hadi berjaya menjaringkan gol.

Keputusan 5-3 di akhir perlawanan sudah memadai bagi Singapura untuk ‘meletakkan bas di hadapan gol’ pada perlawanan timbal balik di Bukit Jalil. Keadaan akan menjadi lebih sukar bagi Malaysia.

Pada perlawanan itu, rakyat Malaysia telah memberikan 110% kepercayaan kepada Rajagobal. Stadium yang berkapasiti hampir 90,000 itu sarat dengan penonton: sesuatu yang tidak pernah disaksikan untuk mana-mana perlawanan peringkat kelayakan.

Gambar daripada The Sun.

Rajagobal malangnya membalas kepercayaan tersebut dengan sekali lagi menurunkan Ismail Faruqi, walaupun beliau sendiri tidak percaya bahawa Ismail layak bermain dalam separuh masa kedua di Singapura. Ismail mengakui bahawa beliau gugup ketika diturunkan untuk perlawanan kompetitif pertamanya bagi Malaysia:

“I missed a good chance to score an open goal and it affected my game as I felt guilty. I have to admit that it took me some time to get into rhythm and I also did not support the strikers well. I think I was a bit nervous starting the match.”

(“Saya terlepas peluang baik untuk melakukan jaringan di gol terbuka dan ini memberi kesan kepada permainan saya kerana saya rasa bersalah. Saya perlu mengaku yang ia memerlukan sedikit masa untuk mendapat rentak dan saya juga tidak menyokong para penyerang dengan baik. Saya rasa saya sedikit gugup bila memulakan perlawanan.”)

Rajagobal kemudiannya akan mempertahankan pemilihan Ismail dengan berkata:

You cannot judge a player after just one match. It takes a long time to integrate into the team and adapt to international football.”

(“Anda tidak boleh menghakimi seseorang pemain hanya selepas satu perlawanan. Tempoh yang panjang diperlukan untuk mengintegrasi ke dalam pasukan dan mengadaptasi kepada bolasepak peringkat antarabangsa.”)

Mungkin maksud Rajagobal tentang ‘tempoh panjang yang diperlukan’ itu ialah satu perlawanan pertunjukan dengan Liverpool.

Rajagobal ada mengakui betapa punca kekalahan pasukan di Singapura ialah kerana pertahanan yang ‘gila’ dan ‘dipukau’:

We got the best ever start and then the whole defence collapsed. We conceded goals which were both simple and sloppy. I think my players went crazy and it looked as if they were nervous. They were lost and did not know what they were doing, it looked as if they were hypnotised. The first half was just crazy.

(“Kami memulakan perlawanan dengan cara terbaik tetapi kemudian keseluruhan pertahanan runtuh. Kami dibolosi gol-gol mudah dan cuai. Saya rasa pemain-pemain saya jadi gila dan mereka kelihatan gugup. Mereka hilang arah dan tidak tahu apa yang mereka buat, ia kelihatan seperti mereka dipukau. Separuh masa pertama begitu gila.”)

Namun apabila ramai pihak mencadangkan beliau memanggil semula Norhafiz Zamani Misbah, bekas kapten Malaysia yang baru sahaja membuktikan kemampuan mengekang Chelsea di dalam skuad kendalian Ong Kim Swee, dan pernah diberi kepercayaan oleh kesemua jurulatih-jurulatih negara sebelum ini termasuk diri beliau sendiri, Rajagobal menolak cadangan tersebut dan sebaliknya lebih rela mengambil risiko terhadap Aidil Zafuan yang baru sahaja pulih daripada kecederaan.

Aidil akhirnya hanya termampu menyumbangkan kudrat selama 22 minit di Bukit Jalil. Selepas ketiadaan beliau, pertahanan Malaysia sekali lagi menjadi ‘gila’ dan dibolosi gol mudah.

Rajagobal juga terus mempertaruhkan Fakri untuk menggantikan Hadi Yahaya pada minit ke-71, dan Fakri membalas kepercayaan tersebut dengan bermain bersungguh-sungguh sehingga mendapat kad merah pada minit-minit kecederaan.

Malaysia, raja bolasepak ASEAN, akhirnya kecundang di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia kepada Singapura, musuh paling ketatnya.

Bulan madu untuk Rajagobal kini telah berakhir.

Mat Yo hanya mampu menangis melihat Malaysia tersingkir tanpa beliau. Gambar daripada NST.

[Bersambung di bahagian ketiga]


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: