Pra-Piala AFF 2012: Inikah Barisan Kita? (Bahagian 1)

Bulan Madu Di Awan Biru

Fantasia Bulan Madu

Bulan madu di awan biru
Tiada yang mengganggu

K. Rajagobal ialah seorang yang konfiden pada November 2010. Beliau baru sahaja pulang dari Sukan Asia 2010 Guangzhou dengan pasukan yang menghuni tempat ketiga Kumpulan A, di belakang tuan rumah China dan pasukan yang akhirnya berjaya merangkul pingat emas, Jepun. Malaysia malah berjaya menewaskan pasukan negara bekas Soviet, Kyrgyzstan.

Ini merupakan satu keputusan yang menonjol bagi penyertaan dalam kejohanan peringkat umur bawah 23 tahun, jikapun ramai masih menganggapnya sebagai satu kegagalan.

Untuk acara bolasepak Sukan Asia, Rajagobal dibenarkan membawa 3 pemain melebihi umur 23 tahun. Beliau membawa 2 pemain berusia 24 tahun, dan seorang 29 tahun. Jika ada mana-mana pihak yang ingin tahu siapakah pemain yang wajib ada dalam pasukan Rajagobal, maka mereka bolehlah mengenalpasti 3 pemain ini. Safee Sali bukan seorang daripada mereka.

9 hari kemudian, Rajagobal memulakan latihan untuk kejohanan yang lain pula. Piala AFF, satu kejohanan yang tiada lagi meletakkan apa-apa sekatan kepada umur pemain.

Namun keyakinan Rajagobal terhadap barisan pemain-pemain bawah 21 tahunnya (Harimau Muda A 2010) begitu utuh, sehinggakan beliau menamakan seramai 8 orang pemain daripada kumpulan tersebut ke dalam skuad Piala AFF. Ia merupakan jumlah perwakilan terbesar daripada mana-mana pasukan, melebihi jumlah wakil daripada juara Piala Malaysia 2010, Kelantan dan juara Liga Super 2010, Selangor.

4 orang daripada kumpulan tersebut: Khairul Fahmi Che Mat, Fadhli Shas, Muslim Ahmad dan Mahali Jasuli; selain 3 lagi pemain yang dibimbing Rajagobal ketika memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 iaitu Safiq Rahim, S. Kunanlan dan Amar Rohidan: bakal menjadi kesebelasan utama dalam majoriti perlawanan Malaysia di Piala AFF.

Selain mereka, kesebelasan utama Rajagobal memiliki hanya 3 ruang untuk bekas anak buah B. Sathianathan iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Asraruddin Putra dan Amirul Hadi Zainal.

Manakala keseluruhan skuad Rajagobal memiliki hanya SATU ruang untuk bekas anak buah Bertalan Bicskei, iaitu Safee Sali.

Tiada satu ruangpun diberikan untuk mana-mana anak buah Allan Harris.

Malaysia, 2008. Gambar daripada AFF.

Mungkin ini cara Rajagobal untuk memberitahu dunia bahawa beliau merasakan pasukan-pasukan yang dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih sebelum ini: B. Sathianathan, Bertalan Bicskei dan Allan Harris – semuanya adalah pasukan-pasukan yang gagal. Rata-rata produk daripada era tersebut ditolak untuk menganggotai skuad Rajagobal.

Tindakan tersebut merupakan isyarat keyakinan yang terlalu tinggi untuk diterima.

Sebagai perbandingan, tindakan Rajagobal menurunkan 7 orang anak buah beliau dalam kesebelasan utama Piala AFF 2010 ialah seumpama mengenepikan pemain-pemain dari liga tempatan seperti Khairul Fahmi, Aidil Zafuan, Fadhli Shas, Bunyamin Umar, Safiq Rahim, S. Kunanlan dan K. Gurusamy pada perlawanan menentang Singapura malam semalam, dan sebaliknya menggantikan mereka dengan pemain-pemain bawah 23 tahun seperti Izham Tarmizi, Amer Saidin, Fandi Othman, Shahrul Saad, Nazmi Faiz dan Gary Steven.

Ia suatu perjudian yang berbahaya.

Namun pertaruhan yang dibuat oleh Rajagobal ini akhirnya telah membuahkan kejayaan. Kejayaan yang boleh disamakan dengan kejayaan pasukan hoki ais amatur Amerika Syarikat yang menewaskan gergasi dunia, Soviet Union pada Olimpik Musim Sejuk 1980. Jika pasukan hoki ais berkenaan diberi gelaran ‘Miracle On Ice‘, pasukan Piala AFF 2010 layak diberikan jolokan setaraf.

K. Rajagobal dijulang bagaikan raja sebenar, dan bukan sekadar raja pada nama. Beliau malah kemudiannya dianugerahkan gelaran Datuk di atas kejayaan tersebut. Keyakinan beliau bertambah.

Bulan madu untuk Rajagobal, kini bermula.

[Bersambung di bahagian kedua]

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: