Piala FA 2012: Pekerja lawan ‘Payung’

Pada tahun 2000, Harry Markopolos telah menghantar aduan rasmi kepada Suruhanjaya Sekuriti & Bursa Amerika Syarikat (SEC) yang mengandungi dakwaan bahawa skim pelaburan yang dijalankan oleh Bernie Madoff, seorang broker saham masyhur di Wall Street, sebenarnya hanyalah suatu bentuk ‘skim cepat kaya’.

Tiada sebarang tindakan diambil oleh SEC.

Bernie Madoff bukan sahaja seorang broker saham, malah beliau ialah pengerusi kepada salah sebuah syarikat pelaburan terbesar di Wall Street. Beliau malah pernah memegang jawatan sebagai pengerusi NASDAQ (bursa saham AS).

Harry Markopolos pula, hanyalah seorang eksekutif yang bekerja dalam industri sekuriti.

Pada tahun 2009, hampir sedekad selepas Markopolos membuat aduan, Bernie Madoff telah dijatuhkan hukuman penjara selama 150 tahun apabila didapati bersalah melakukan jenayah-jenayah termasuk penipuan pelaburan. Kegagalan SEC untuk mengambil serius amaran yang diberitahu oleh Markopolos telah mengakibatkan kerugian sebanyak USD64.8 billion (RM199.9 billion) – menjadikan ia ‘skim cepat kaya’ terburuk dalam sejarah dunia.

Bernie Madoff: pengusaha ‘skim cepat kaya’ paling dahsyat dalam sejarah dunia.

Apa yang silap dengan perniagaan Bernie Madoff?

Business model ialah kaedah bagaimana sesebuah syarikat meraih keuntungan. Menerusi business model Madoff, pulangan pelaburan setinggi 1-2 peratus sebulan boleh diberikan secara konsisten. Carta pulangan pelaburan meningkat sehingga hampir 45 darjah, tanpa mengira pasaran yang naik mahupun turun.

It’s just too good to be true. Dengan kata lain: ia tidak logik.

Bagaimana pula dengan business model bolasepak Malaysia?

Business Model Bolasepak Malaysia: Di Mana Logiknya?

Bolasepak di Eropah ialah satu business yang meraih keuntungan melalui penjualan tiket, hak penyiaran televisyen dan kontrak pengiklanan. Majoriti kelab-kelab Eropah beroperasi sebagai sebuah entiti business, tanpa mengambil kira kelab ‘demokratik’ seperti Real Madrid dan Barcelona. Kedua-dua kelab ini masing-masing dimiliki ahli seramai 60,000 dan 170,000 orang yang layak untuk mengundi dalam pemilihan presiden kelab. Kelab ‘demokratik’ ialah model yang baik, tetapi ia memerlukan kepada bilangan penyokong yang ramai, jika tidak ia akan gagal bersaing sepertimana FC United di England. Sebagai makluman, Real Madrid dan Barcelona yang diuruskan sebagai persatuan berdaftar dan bukan sebagai syarikat, masing-masing mencatatkan jumlah HUTANG bersih sebanyak EUR244.6 juta (RM970.4 juta) dan EUR364 juta (RM1.44 billion) pada tahun 2011.

Di Malaysia, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang dikepalai oleh Tan Sri Annuar Musa merupakan peneraju business bolasepak dengan stadium yang selalu penuh dan jumlah kontrak pengiklanan yang banyak. Perkara ini tidaklah menghairankan kerana Tan Sri Annuar Musa juga merupakan Pengerusi Malaysian Super League Sdn. Bhd., syarikat yang dibentuk khusus untuk menjadi cabang komersial bolasepak Malaysia.

Namun jika kita lihat kepada lawan Kelantan pada perlawanan akhir Piala FA hujung minggu ini, iaitu Sime Darby Football Club (SDFC), apa pula business modelnya?

SDFC tidak ubah seperti kelab-kelab bolasepak yang diasaskan oleh syarikat swasta seperti PSV Eindhoven (diasaskan tahun 1913 di syarikat elektrikal Philips) dan Bayer Leverkusen (diasaskan tahun 1904 di syarikat farmaseutikal Bayer). Namun sekalipun kedua-dua kelab ini telah mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa, ia masih digelar ‘kelab plastik’ kerana tidak mewakili dan tidak dilahirkan daripada sebarang komuniti:

Plastic Clubs

Clubs like PSV Eindhoven, who are owned by electrical giant Phillips and Bayer Leverkusen, who are run by German pharmaceutical company Bayer, are the best examples. But there are many more across Europe and the rest of the world, all supported by businesses that they represent. It’s a symbiotic relationship – the club is supported by the business and the business is represented by the club.

But this model alienates the fans. They don’t represent the community because they didn’t grow up from the community. As a consequence they don’t generate the same passion or loyalty as other clubs because they aren’t reliant on the supporters for their existence.

Football, a Model Business

Mungkin, oleh sebab itulah nama syarikat Philips dan Bayer dilihat wajib digandingkan dengan nama-nama bandar seperti Eindhoven dan Leverkusen: untuk menyelamatkan ia daripada imej ‘plastik’.

PSV Eindhoven melahirkan pemain berbakat seperti Arjen Robben namun masih dianggap ‘kelab plastik’.

SDFC tiada penaja: melainkan Sime Darby sendiri. SDFC tiada penyokong. Malah untuk perlawanan akhir Piala FA, bukan para penyokong yang membayar harga tiket kepada Sime Darby, sebaliknya Sime Darby pula yang MEMBAYAR para pekerjanya untuk menonton perlawanan melalui pemberian tiket percuma.

Bagaimana sebuah kelab bolasepak, yang MEMBAYAR orang ramai untuk menonton perlawanannya, boleh menjadi suatu business yang bertahan  lama (sustainable)?

Adakah ini satu business model yang logik?

Badan Kebajikan

Sebenarnya, adalah salah untuk menganggap SDFC sebagai sebuah entiti business. SDFC merupakan salah satu program CSR (Corporate Social Responsibility – Tanggungjawab Sosial Korporat) bagi syarikat gergasi Sime Darby, yang bertujuan untuk “menggalakkan gaya hidup sihat melalui penyertaan dalam bidang sukan”. Antara program CSR lain yang dijalankan oleh Sime Darby ialah anugerah biasiswa kepada pelumba basikal negara Azizulhasni Awang, gotong-royong membersihkan Hutan Rekreasi Sungai Tua, pemulihan habitat orangutan di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua, program kesedaran penyakit kencing manis di perkampungan Orang Asli Pangsun dan sumbangan buku, kasut dan pakaian kepada pekerja estet Sime Darby di Liberia. Sumbangan-sumbangan ‘kebajikan’ kepada masyarakat seperti ini melayakkan Sime Darby mendapat pelepasan cukai daripada kerajaan.

Sime Darby Football Club bukanlah sebuah business. Ia adalah satu bentuk kebajikan (welfare).

Untuk tahun 2011, Sime Darby membelanjakan lebih daripada RM64 juta untuk program-program CSRnya, termasuklah untuk penglibatan SDFC di Liga Perdana. Namun, cita-cita SDFC ialah untuk bermain di Liga Super pada musim hadapan.

Sime Darby membelanjakan lebih RM64 juta untuk program kebajikan sosial bagi tahun 2011: termasuk untuk SDFC. Berapa banyak pula belanja ‘kebajikan sosial’ yang diperlukan untuk mengharungi Liga Super dan Piala AFC?

Adakah jumlah perbelanjaan SDFC, yang kini dikongsi bersama-sama orangutan di Ulu Segama dan hutan rekreasi di Sungai Tua, cukup untuk berhadapan dengan pasukan-pasukan Liga Super pada setiap hujung minggu? Dan jika satu lagi cita-cita SDFC tercapai: iaitu untuk bermain di Piala AFC, adakah jumlah perbelanjaan ini cukup untuk bersaing dengan kelab-kelab seperti Al-Faisaly (Jordan) dan Al-Ettifaq (Arab Saudi)?

Sudah pasti tidak.

Perbelanjaan SDFC perlu ditambah. Bagaimanakah perbelanjaan ini boleh ditambah, sedangkan stadium kosong? Bagaimanakah perbelanjaan ini boleh ditambah, sedangkan ia tiada penaja melainkan dirinya sendiri?

Bagaimanakah perbelanjaan ini boleh ditambah, sedangkan ia bukanpun sebuah entiti business?

Bolasepak Malaysia Perlu Berdikari

Business model SDFC ini tidak ubah seperti yang diamalkan oleh majoriti pasukan-pasukan bolasepak lain di Malaysia, malah termasuklah FAM sendiri. Ia adalah business model yang berkehendakkan kepada hanya satu penaja ulung, satu ‘payung’, yang akan melambakkan harta dan wang ke atas pasukan tersebut. Para pentadbir pasukan tersebut tidak perlu bekerja berhempas pulas untuk mencari penaja: tiada duit? Minta sahaja daripada ‘payung’.

Business model SDFC seakan-akan business model FAM: Tiada duit? Minta daripada ‘payung’. Gambar daripada Sinar Harian.

Sebenarnya tiada masalah pada business model ini: dengan syarat ‘payung’ berkenaan memiliki karung harta karun yang tiada dasar.

Namun karung seperti ini tidak wujud dalam dunia. Presiden FAM tidak boleh selama-lamanya menyerahkan jutaan duit baginda kepada FAM. Sime Darby tidak boleh selama-lamanya menyerahkan belanja Hutan Rekreasi Sungai Tua, orangutan di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua dan Orang Asli Pangsun kepada Sime Darby Football Club. Gunung ditarahpun akan rata.

Business model bolasepak Malaysia perlu berubah. Berubah daripada berharap, kepada bekerja.

Sepertimana Tan Sri Annuar Musa bekerja mencari penaja untuk ditepek pada bahagian hadapan, belakang, atas dan bawah jersi Kelantan. Bekerja untuk menganjurkan Bengkel Pemasaran & Pembangunan Penyokong Kelab.

Ini bermakna pada perlawanan akhir Piala FA 2012 hujung minggu ini, kita bakal menyaksikan pertembungan kelab para pekerja seperti Tan Sri Annuar Musa melawan kelab ‘payung’, yang tidak ubah seperti FAM.

Kelab yang mewakili komuniti, lawan kelab yang mewakili sebuah syarikat.

Stadium penuh lawan stadium kosong.

Hasil usaha para pekerja yang tidak bergantung-harap kepada sumbangan ‘payung’.

Kepincangan business model SDFC sebenarnya bukanlah salah kakitangan-kakitangan SDFC: para jurulatih, pengurus dan pemain. Mereka hanya menjalankan tugas yang diarahkan, dan mereka menjalankannya dengan cemerlang. Ketika pengurusan pasukan gergasi seperti Selangor dan Kedahpun terhegeh-hegeh mencari, menguji, mengambil dan kemudian memecat pula pemain import, SDFC kelihatan mudah memperolehi khidmat pemain kebangsaan Liberia, Patrick ‘Ronaldinho’ Wleh, yang baru berusia 20 tahun dan kini mempersembah aksi cemerlang di Liga Perdana. Tatkala pasukan-pasukan lain sibuk dengan nama-nama gah dalam pasukan kebangsaan, SDFC tiada masalah untuk memberi peluang kepada Mohd. Yusof Zainal Abidin, yang bermain di liga bolasepak Kuala Lumpur, untuk mengetuai serangan ketika menentang juara Piala FA 2011, Terengganu. Daripada memperjudi wang dengan menaja persatuan-persatuan negeri yang pengurusannya kelam-kalibut, adalah lebih baik Sime Darby membina pasukan sendiri.

Kepincangan business model kelab SDFC bukan salah pemain, jurulatih mahupun pengurus. Namun adakah ia arah yang betul untuk bolasepak Malaysia? Gambar daripada The Star.

Namun kesemua usaha kakitangan-kakitangan SDFC ini tidak mampu menutup hakikat betapa jika SDFC menang Sabtu ini, Malaysia bakal diwakili oleh sebuah kelab ‘payung’ pada Piala AFC musim hadapan. Imej bolasepak Malaysia di arena antarabangsa akan dipamerkan melalui stadium yang kosong.

Adakah ini arah yang betul untuk bolasepak Malaysia?

Mungkin arah yang betul ialah bagi SDFC menjadi kelab pertama yang mengadaptasi model Barcelona atau Real Madrid di Malaysia. Apa yang pasti, bolasepak Malaysia tidak akan keluar daripada kemerosotan, sekiranya kemenangan berpihak kepada model yang salah: tidak ubah seperti kes Markopolos melawan Madoff. [Kembali ke Laman Utama]

Advertisements

Satu Respons to “Piala FA 2012: Pekerja lawan ‘Payung’”

  1. saya amat bersetuju dengan saranan dan pandangan tuan, saya juga pernah mengutarakan perkara yang sama kepada rakan2 dikedai kopi maklumlah kita hanya layak bercakap dikedai kopi sahaja. Hal ini saya suarakan semenjak MPPJ berjaya merangkul piala malaysia pada satu ketika dulu. Saya memberi contoh jika selangor MPPJ menentang Selangor pada perlawanan akhir tersebut siapa yang akan menyokong selangor MPPJ. Bola sepak adalah apabila ada penonton yang menontonnya tanpa penonton ia hanya seperti perlawanan yg dipulaukan disebabkan masalah rusuhan penyokong atau lain2 sebab.

    Syarikat2 besar harus melupakan membawa pasukan sendiri untuk mewakili mereka, jika mereka menaja pasukan daripada liga FAM sekalipun itu sudah dianggap sebagai tanggungjawab sosial syarikat. Sementelah kelab2 mereka juga bukannya berada di liga super malaysia. sebagai contoh sebuah negeri yang akan lenyap dalam nama bola sepak malaysia adalah negeri melaka. hanya negeri ini yang tidak akan ada nama pada masa depan dalam bolasepak malaysia. inilah antara negeri yang perlu dibantu untuk menjenama semula negeri ini selain pulau pinang dan perlis.

    akhir kata saya juga tidak bersetuju dengan penglibatan IPTA dalam liga di malaysia. biarkan meraka tamatkan pengajian dahulu atau gunakan wang untuk menguruskan pasukan untuk membantu pelajar miskin yang memerlukan. liga separuh profesional juga boleh diwujudkan untuk menggalakkan penglibatan mereka secara separuh masa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: