Penyokong Korea Tempatan Hilang Jati Diri

Sekeping tiket percuma. Begitulah murahnya harga kesetiaan seorang anak Melayu, yang dilahirkan di Malaysia, lidah dibasahi tutur kata Melayu, malah mungkin bermimpi dan melatahpun dalam bahasa Melayu: tetapi menyokong pasukan bolasepak Korea Selatan ketika menentang pasukan Malaysia di tanah tumpah darahnya sendiri.

Gelagat sekumpulan rakyat Malaysia, rata-ratanya anak Melayu yang memakai baju serba merah, sesetengahnya mengenakan ‘tanduk’ (simbol kelab rasmi penyokong Korea Selatan yang digelar ‘Red Devils’), dan menyokong pasukan Korea Selatan pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil amat menyayat hati. Malah, apa yang lebih mendukacitakan ialah ada antara mereka yang mempertahankan habis-habisan tindakan mereka sambil menghina lagu kebangsaan di laman sosial Facebook.

Majoriti rakyat Malaysia menganuti doktrin ‘tidak apa’ dan akan turut menghalalkan gelagat kumpulan ini. Namun, gejala ‘tidak apa’ inilah yang akan sedikit demi sedikit menghakis jati diri rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, sehingga akhirnya apabila diserang, mereka bukan sahaja malas untuk melawan, malah mencipta justifikasi untuk menyerah. Sejarah mengajar kita betapa inilah sebabnya mengapa tanah Melayu dijajah selama 446 tahun oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Melayu abad ke-21 wajib meletakkan noktah pada sikap buruk ini.

Sejak kebelakangan ini, adalah terlalu ketara sekali gejala anak-anak muda menghina negara sendiri hanya kerana perbezaan fahaman politik. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana walau parti apapun yang disokong, ia masih lagi parti yang bertapak di tanah tumpah darah kita. Contohilah para penyokong Kelantan yang tidak pernah gagal memenuhi stadium walaupun persatuan bolasepak mereka diterajui oleh seorang bekas ketua pembangkang DUN Kelantan.

Memang rata-rata peminat bolasepak tempatan berkiblatkan bolasepak Inggeris, namun mereka tidak pandai pula mencontohi semangat para penyokong Inggeris, Scotland, Ireland dan Wales yang setia menyokong pasukan mereka walaupun tewas. Kehebatan seorang penyokong bukan diukur apabila pasukannya menang, tetapi tatkala pasukan yang disokongnya kalah. Tanya sesiapa sahaja tentang kumpulan penyokong terhebat di England dan sudah pasti nama ‘Toon Army’ (gelaran penyokong kelab Newcastle United) akan disebut, walaupun kelab tersebut tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris pada musim 2008/2009 dan menghabiskan musim 2009/2010 di divisyen satu. Situasi amat berbeza di negara ini apabila pasukan muda negara akan dihentam tanpa belas kasihan apabila tewas.

Jika kononnya pasukan Inggeris disokong kerana permainan mereka lebih cantik berbanding Malaysia, saya tidak nampak pula penjaga gol Malaysia membuat kesilapan bodoh seperti yang dilakukan penjaga gol Inggeris, Robert Green di Piala Dunia.

Apa dosa Skuad Bawah 23 negara terhadap anak-anak Melayu yang menyokong pasukan asing ini? Adakah ia bersifat peribadi? Kebanyakan rakyat Malaysia gemar mencanang keburukan para pemain negara tetapi memejam mata apabila gaji mereka tertunggak, karier mereka yang pendek tiada jaminan keselamatan sosial (KWSP dan PERKESO), penuh risiko kecacatan kekal dan akhirnya zaman persaraan dilalui dalam keadaan daif sambil mengemis bantuan di media massa.

Berapa ramai antara kita yang sanggup bekerja tanpa dibayar gaji, dan rela dicemuh apabila gagal menjalankan tugas dengan baik?

Adakah segala-gala yang dilakukan oleh pasukan muda kita salah? Tatkala mereka memenangi Pestabola Merdeka 2007, ramai yang mengatakan kemenangan itu tiada nilai kerana menentang pasukan ‘lemah’ seperti Myanmar, seolah-olah Myanmar terlalu hina dan tiada ‘hak’ untuk layak ke perlawanan akhir. Tahukah mereka bahawa Myanmar pernah melayakkan diri ke Olimpik 1972 (tahun yang sama Malaysia layak kali pertama) dan menjadi naib johan Piala Asia 1968 (tewas kepada Iran)? Nyata ‘peminat-peminat palsu’ ini bukan sahaja tiada rasa hormat langsung kepada pasukan negara sendiri tetapi juga kepada lawannya.

Tiada sebab mengapa kita patut biarkan Zaquan, Safiq, Kunalan, Norshahrul dan rakan-rakan mengemis sokongan di tanah tumpah darah mereka. Jika Malaysia menangpun salah, maka apa yang betul?

Rimau XI

[Kembali ke Laman Utama]


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: