Menuntut Tindakan Pengambilalihan Pasukan Bolasepak Selangor Daripada FAS

Klik untuk muat turun dokumen tuntutan

Y.A.B. Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali,
Pejabat Menteri Besar Selangor,
Tingkat 21,
Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
40503 Shah Alam.                                                                                                                                                       5 Ogos 2016

Tuan,

Menuntut Tindakan Pengambilalihan Pasukan Bolasepak Selangor Daripada FAS

Merujuk kepada perkara di atas, saya sebagai seorang penyokong bolasepak Selangor ingin menuntut kepada pihak tuan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk menggerakkan penubuhan kelab baru yang kemudiannya akan mengambil alih pasukan bolasepak Selangor daripada FAS.

2.    Sebagaimana yang pihak tuan sedia maklum, pihak tuan melalui kerajaan negeri telah meluluskan sumbangan sebanyak RM23 juta untuk bolasepak negeri Selangor bagi tahun 2016, termasuk membangunkan Akademi Merah Kuning, selain RM5 juta peruntukan untuk FAS di bawah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Dana ini ialah hak rakyat negeri Selangor.

3.    Walau bagaimanapun, sebanyak RM1.1 juta daripada dana tersebut telah digunakan hanya untuk membayar pampasan penamatan kontrak Mehmet Durakovic sebagai jurulatih pasukan bolasepak Selangor. Perbelanjaan sebanyak ini kemudiannya terbukti merupakan satu pembaziran wang rakyat apabila penggantinya sama sekali gagal meneruskan prestasi pasukan, sehingga mengakibatkan pasukan bolasepak Selangor telah tersingkir daripada pertandingan Piala AFC, Piala FA dan kemungkinan besar perebutan Liga Super.

4.    Sebagai seorang penyokong yang telah muak dengan pembaziran wang rakyat dan langkah-langkah penyelesaian jangka pendek seperti penggantian jurulatih, saya menuntut penyelesaian yang lebih holistik daripada pihak tuan menerusi pengambil alihan pengurusan pasukan bolasepak Selangor daripada FAS kepada sebuah entiti kelab baru yang boleh dinamakan FC Selangor (FCS), atau apa-apa sahaja nama yang difikirkan lebih sesuai untuk mewakili pasukan bolasepak Selangor.

5.    Kini FAS menaungi kelab-kelab gabungannya seperti PKNS, Air Asia dan UiTM, namun FAS juga menguruskan pasukan bolasepak Selangor yang bertanding dalam Liga Super dan Piala Malaysia dan menentang kelab-kelab gabungannya. Merujuk Artikel 36 Statut FAS, tiada peruntukan nyata (express provision) yang memberikan kuasa kepada Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAS ke atas pasukan bolasepak Selangor (rujuk Lampiran 1).

6.    Pasukan bolasepak Selangor boleh diambil alih FCS dengan model operasi (operating model) sebagai sebuah kelab keahlian (membership club), sepertimana dua kelab paling berjaya di Sepanyol: Real Madrid CF dan FC Barcelona. Kelab keahlian ialah organisasi non-profit dan demokratik di mana ahli-ahlinya mengundi untuk seorang presiden dilantik daripada kalangan mereka bagi menerajui urusan-urusan kelab. Real Madrid dan Barcelona masing-masing memiliki keahlian seramai 85,000 dan 102,000 orang di mana kesemua mereka membayar amaun yuran keahlian yang kecil, dan sebagai balasan diberikan pemilikan kelab. Struktur ini adalah struktur yang memiliki akauntabiliti, mewujudkan amalan perniagaan yang baik serta urusan kelab yang telus.

7.    Model operasi ini  mengembalikan kuasa pentadbiran kepada satu-satunya khalayak yang setia bersama kelab ketika naik mahupun turun: iaitu para penyokong. Sepertimana FC Barcelona, kelab tersebut memiliki 144,756 ahli yang digelar ‘socio’. Hanya ‘socio’ sahaja yang boleh mengundi untuk jawatan presiden. Presiden juga hanya boleh dilantik daripada kalangan ‘socio’, tanpa mengira status sama ada marhaen mahupun bangsawan, dengan syarat ‘socio’ berkenaan memperolehi petisyen pencalonan daripada 2,535 ‘socio’ yang lain. Model operasi seperti ini menjadikan penyokong sebagai pemilik dan bukan sahaja sebagai penonton, sekaligus mewujudkan khalayak penyokong yang lebih konsisten walaupun dalam tempoh prestasi buruk (off form).

8.    Selain manfaat daripada segi bilangan penyokong yang lebih konsisten, kelab juga mampu meningkatkan pendapatan dan mengelakkan penggantungan kepada dana rakyat. Sebagai perbandingan, yuran keahlian FC Barcelona ditetapkan pada harga EUR176, namun harga ini tidak termasuk pas musim. Ahli kelab bagaimanapun diberikan diskaun untuk harga tiket perlawanan. Jika FCS menetapkan yuran keahlian pada kadar RM500 bersama pas musim untuk 57,000 orang (95% daripada kapasiti bersih yang boleh dijual atau net saleable capacity bagi Stadium Shah Alam, menurut Artikel 65.1 AFC Champions League Regulations 2016. Rujuk Lampiran 2), maka kutipan yuran keahlian sahaja boleh menjana pendapatan sebanyak RM28.5 juta. Amaun ini sahaja ialah lebih RM5.5 juta daripada sumbangan kerajaan negeri yang tuan sendiri luluskan, tanpa mengambil kira jumlah tajaan yang bakal diterima. Model operasi ini mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak RM23 juta setahun.

9.    Walaupun harga RM500 pada mulanya mungkin dianggap mahal, perlu diingat bahawa keahlian ini ialah terhad dan eksklusif (57,000 ahli hanya membentuk 2.8% daripada jumlah 2,006,868 orang anak Selangor yang boleh didapati daripada daftar pengundi). Status eksklusif yang sama boleh diperhatikan pada keahlian FC Barcelona, di mana ia tidak lagi dibuka kepada orang ramai sejak November 2010. Hanya individu yang memiliki hubungan keluarga dengan ahli FC Barcelona sedia ada sahaja dibenarkan menjadi ahli, selain bekas ahli yang pernah memegang keahlian selama minimum dua tahun. Pihak tuan juga boleh membuat perbandingan dengan status eksklusif keahlian kelab-kelab golf yang kini memiliki pasarannya yang tersendiri. Keahlian kelab-kelab golf boleh bertukar tangan pada harga lebih suku juta ringgit, contohnya harga keahlian KLGCC adalah dalam lingkungan RM250,000-RM330,000, Kelab Golf Negara Subang RM70,000, manakala Kelab Rahman Putra RM50,000.

10.    Tuntutan-tuntutan di atas dibuat semata-mata kerana perasaan sayang kepada bolasepak negeri kelahiran saya tanpa sebarang niat yang buruk. Segala pertimbangan daripada pihak tuan saya dahului dengan ucapan tak kenal lelah, pantang menyerah, hadapilah lawanmu, merah kuning sejati, takkan berhenti, Selangor sampai mati.

Yang benar,
Penyokong Bolasepak Selangor


 
%d bloggers like this: