Isu Jelajah Man. United dan CYC Aibkan Negara

Bolasepak Malaysia baru-baru ini telah bergolak lagi dengan isu penganjuran Jelajah Asia Manchester United dan ‘Piala Juara-juara Remaja Dunia’ (CYC). Bezanya kali ini, kedua-dua isu ini telah mengaibkan nama negara di media antarabangsa.

Penganjuran Jelajah Asia Manchester United ketika Piala Asia berlangsung telah mengundang kritikan hebat daripada presiden AFC, Mohamed bin Hammam, malah sehingga ditegur oleh presiden FIFA sendiri, Sepp Blatter. Kritikan-kritikan mereka kebanyakannya telah ditujukan kepada kelab Manchester United.

Walaupun begitu, apa yang lebih menghairankan adalah sikap tidak peka pihak yang mewakili nama baik Malaysia, KBS, kerana membenarkan jelajah ini dianjurkan ketika Piala Asia berlangsung. Apakah KBS tidak memeriksa kalendar aktiviti bolasepak negara?

Sekarang kebodohan KBS telah mengheret bukan sahaja FAM, malah maruah Malaysia ke dalam kemelut AFC/FIFA dan Manchester United.

Jelajah Manchester United hanyalah perlawanan persahabatan pra-musim untuk memanaskan badan selain mengaut keuntungan komersial. Pemain waras manakah yang mahu bermain bersungguh-sungguh pada sesuatu perlawanan pra-musim, sedangkan waktu itu adalah tempoh percutian mereka?

Pemain Manchester United manakah yang kurang siuman untuk bermain bersungguh-sungguh dan berhadapan risiko kecederaan pada perlawanan persahabatan yang tidak membawa apa-apa erti, sedangkan musim EPL yang akan datang semakin hampir?

Jika Manchester United bermain sambil lewa, apa jenis faedah yang dapat dikutip oleh para pemain negara?

Piala Asia pula adalah kejohanan rasmi yang diiktiraf oleh AFC dan FIFA serta dianjurkan hanya sekali setiap empat tahun. Adalah menjadi tanggungjawab Malaysia sebagai tuan rumah untuk memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan Piala Asia. Penganjuran dua aktiviti bolasepak yang mewakili kepentingan berbeza pada satu masa hanya mendedahkan ketidakupayaan kita untuk memberikan fokus selain memperlihat seolah-olah kita tamak perhatian.

Semua benda hendak dianjur. Satu benda pun tak menang.

Berbanding jelajah Manchester United yang hanya memberi kepentingan kepada sebuah kelab, Piala Asia merupakan kejohanan antara negara. Malaysia bakal menerima kunjungan pasukan yang mewakili negara masing-masing dalam bidang sukan dan adalah menjadi kewajipan bagi kita untuk melayan mereka sebagai tetamu negara. Namun, apa yang mengaibkan ialah Malaysia merupakan satu-satunya tuan rumah yang membenarkan jelajah Manchester United diadakan di negara sendiri ketika Piala Asia masih lagi berlangsung. Negara-negara tuan rumah lain seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam tampak lebih bersikap gentleman: memahami dan menghormati tradisi bolasepak antarabangsa.

Bikin malu sahaja Malaysia.

Bukan sahaja itu, malah Malaysia merupakan satu-satunya pihak yang mungkin menurunkan pasukan kebangsaan bagi menentang Manchester United, sedangkan di negara lain mereka akan menentang pasukan kelab. FAM seharusnya bertindak tegas untuk tidak mengizinkan perlawanan pasukan kebangsaan menentang kelab, kerana pasukan kebangsaan mewakili maruah negara. Kita tidak akan melihat pasukan kebangsaan England menentang pasukan kelab dan ini sememangnya merupakan suatu tradisi bolasepak. Memang tidak salah untuk memecah tradisi bagi kebaikan, namun tiada faedah yang pernah diperolehi oleh pasukan kebangsaan daripada aktiviti ini.

Walaupun tiada lagi perlawanan Piala Asia yang akan dilangsungkan di Malaysia ketika jelajah Manchester United singgah di Kuala Lumpur pada 27 Julai, tanggungjawab Malaysia sebagai tuan rumah masih belum berakhir.

Penganjuran aktiviti yang akan mengalihkan tumpuan peminat bolasepak daripada perlawanan akhir Piala Asia di Jakarta pada 29 Julai adalah tidak ubah seperti tindakan mensabotaj kepentingan negara jiran yang merupakan tuan rumah bersama.

Bukan sahaja itu, penganjuran jelajah Manchester United di Kuala Lumpur pada 27 Julai menunjukkan bahawa KBS tidak meletakkan apa-apa harapan untuk pasukan Malaysia mara ke peringkat separuh akhir Piala Asia.

Memang harapan Malaysia untuk ke peringkat separuh akhir tipis. Dan saya memang faham kalau mana-mana penyokong bolasepak Malaysia mengatakan tiada harapan langsung. Tetapi saya tidak faham jika tindakan ini dilakukan oleh badan yang bertanggungjawab untuk membangunkan sukan di Malaysia, menyokong sukan di Malaysia: iaitu KBS.

Saya tambah tidak faham jika tindakan ini dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri. Nampak sangat Pak Lah ikut cakap menantunya yang konon penyokong terhebat Manchester United di Malaysia. Bikin malu penyokong Manchester United.

Nampak sangat juga, menantu itu sebenarnya tidak ada hasrat langsung untuk menyokong bolasepak Malaysia.

Bolasepak negara turut menerima tamparan hebat apabila FIFA bertindak menarik balik pengiktirafan untuk CYC. Walaupun tindakan berkenaan lebih dilihat sebagai konfrontasi antara FIFA dan kumpulan G-14, pihak yang mewakili Malaysia seharusnya lebih peka untuk menghindarkan negara daripada tersepit dalam konflik tersebut.

Ataukah KBS tidak tahu langsung tentang konflik ini? Kalau begitu, tidak payahlah jadi Menteri Belia dan Sukan.

Kini negara berhadapan kemungkinan kerugian apabila menganjurkan kejohanan yang tidak diiktiraf. Usah kita lupa bahawa negara pernah menganjurkan Piala Dunia Remaja pada 10 tahun lepas. Walaupun Piala Dunia Remaja diiktiraf oleh FIFA dan mempunyai sejarah penganjuran 30 tahun, stadium-stadium tidak dipenuhi penonton malah liputan media antarabangsa tidak meluas. Jika kejohanan yang diiktiraf pun tidak terdaya menarik penonton, apa sumbangan yang mampu diberikan oleh CYC yang tidak diiktiraf kepada Tahun Melawat Malaysia?

Selepas 10 tahun menganjurkan Piala Dunia Remaja, adakah bolasepak Malaysia maju? Tidak. Sebaliknya Malaysia terjunam ke ranking FIFA paling corot dalam sejarah.

Malah, pasti ada aktiviti yang lebih sesuai untuk dianjurkan bagi menyambut kemerdekaan ke-50 negara. Kita tidak pernah melihat penganjuran perlawanan persahabatan pra-musim dan Piala Dunia Remaja memberi faedah yang besar kepada bolasepak negara, tetapi yang pasti adalah penganjurannya bukanlah murah.

Malaysia, seperti tok-tok syeikh Arab yang kaya minyak, dianggap sebagai ‘lubuk’ bagi sesetengah pihak yang menagih pembiayaan bagi cita-cita mahal mereka.

Bukan sahaja itu, kini Malaysia berhadapan kemungkinan digantung oleh FIFA. Syabas KBS, atas sikap bodoh sombong anda.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: