Hantu Tanpa Kepala

Ia merupakan satu situasi yang semakin lama semakin familiar. Kunanlan berlari membawa bola di bahagian sayap, kemudian apabila beliau sudah sepatutnya melakukan cross, bola akan dirampas semula oleh pihak lawan.

Hanya dalam sekelip mata.

Hanya dalam tempoh beberapa milisaat itu – yang diperlukan oleh seseorang pemain sayap untuk mencari-cari sasaran bagi melakukan cross – tempoh beberapa milisaat itulah juga yang digunakan oleh pertahanan lawan yang telah tercicir untuk catch up dan merampas kembali bola – sekaligus menghancurkan tatausaha pergerakan yang telah susah payah dibina daripada bawah.

Malaysia memiliki ramai pemain sayap yang berbakat seperti Kunanlan: Khyril Muhymeen, Alex, Ashaari Shamsuddin, Wan Zack. Mat Yo dan Nor Farhan juga pernah bermain di bahagian sayap. Fullback Malaysia juga berkebolehan membawa bola ke atas melalui bahagian sayap – Mahalli, Azmi Muslim, Zubir.

Sayap, sayap dan sayap. Terbang megah umpama sang helang di angkasa, namun ke manakah sasaran sayap-sayap tersebut? Kita sudah tahu siapakah ‘sayap-sayap’ sang helang, tetapi di manakah ‘kepalanya’?

Kepala Asing

Sasaran-sasaran para pemain sayap tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah Effa Owona untuk Kunanlan, Vedran Gerc untuk Muhymeen, Maycon untuk Alex, Forkey Doe untuk Ashaari. Kepala-kepala asing semuanya. Bayangkan sahaja seekor helang yang sedang terbang megah sambil mengepakkan sayapnya, tetapi kepalanya ialah kepala tapir. Itu memang asing.

Tidak perlulah diulang hakikat betapa kesemua sasaran-sasaran ini ialah penyerang-penyerang import yang tidak akan boleh bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia. Jadi ke manakah hilangnya penyerang tempatan?

Mungkin ada sesetengah pihak yang berhujah bahawa walaupun dengan kehadiran penyerang import, ruang masih terbuka luas untuk penyerang tempatan membuktikan kemampuan mereka sehingga dipilih jurulatih. Penyerang tempatan masih bebas bersaing. Penyerang tempatan bukannya dipecat apa?

Maaf, ini merupakan satu pandangan yang memiliki unsur-unsur naif.

Hakikatnya, tidak ramai jurulatih, pengurus atau pegawai yang suka kelihatan bodoh membazirkan RM68,000 sebulan untuk gaji penyerang import semata-mata bagi bayaran perkhidmatan memanaskan bangku simpanan.

This is a purely financial decision. RM68,000 sebulan bukan duit poket.

It’s all about the money. Gambar daripada goal.com.

Adalah logik untuk mana-mana pasukan mengutamakan pemain import di bahagian serangan. Pemain import dari Eropah dan Afrika rata-ratanya memiliki susuk tubuh yang lebih tinggi daripada pemain Malaysia. Logiklah apabila dikatakan bahawa ketinggian ini memberikan kelebihan kepada mereka untuk menjaringkan gol, selain memberikan kelebihan kepada mereka untuk menghalang pemain import lain pula menjaringkan gol.

Keperluan susuk tubuh yang tinggi ini tidaklah begitu ketara di bahagian midfield berbanding di bahagian serangan dan pertahanan. Oleh kerana FAM hanya membenarkan dua pemain import sahaja, maka adalah lebih menjimatkan bagi pihak pengurusan sesebuah pasukan untuk membayar gaji pemain midfield tempatan yang murah daripada membelanjakan berpuluh-puluh ribu untuk gaji pemain import di bahagian yang dilihat kurang penting.

All financial.

“…hanya 3 pasukan yang tidak memiliki pemain import di bahagian serangan.”

Daripada 13 pasukan Liga Super yang memiliki pemain import (termasuk LionsXII), hanya 3 pasukan yang tidak memiliki pemain import di bahagian serangan. 2 daripada 3 pasukan tersebut menghuni tangga tercorot dan akhirnya tersingkir daripada saingan Liga Super musim seterusnya.

Raja Segala Sayap

Jika seorang makhluk daripada spesis homo sapiens memerlukan gas oksigen untuk bernafas, subspesis homo sapiens yang dinamakan K. Rajagobal bernafas dengan 4-4-2. 4-4-2 sudah menjadi umpama rukun kepercayaan bagi Rajagobal, ibarat kucing peliharaan yang sentiasa dibelai dengan penuh kasih sayang. Begitu sayangnya Rajagobal terhadap 4-4-2 sehingga membuatkan beliau menggunakan 4-4-2 untuk kesemua perlawanan peringkat kumpulan, termasuklah kekalahan 0-3 terhadap Singapura.

Para jurulatih pasukan lawan tidak perlulah berhempas pulas untuk meneka dan mengagak apakah formasi dan strategi yang bakal digunakan oleh Rajagobal. Ia sudahpun terang lagi bersuluh.

Rajagobal ialah raja segala sayap.

Rajagobal hanya menggunakan formasi 4-2-3-1 dalam peringkat kalah mati ketika menentang Thailand. Ramai pihak termasuklah pihak media yang memuji persembahan pasukan Rajagobal tatkala menggunakan formasi ini yang membuatkan Malaysia mendahului Thailand 1-0 di Bukit Jalil. Tidak kiralah walaupun wujud khabar angin bahawa formasi ini merupakan idea Ong Kim Swee yang mengintip di Bangkok sepanjang tempoh perlawanan peringkat kumpulan berlangsung.

Namun godaan 4-4-2 tidak mampu ditepis oleh Rajagobal, dan pada minit ke-75 di Bukit Jalil, beliau sekali lagi kembali ke dakapan formasi tersebut.

4 minit kemudian Thailand menjaringkan gol away yang priceless.

Dan dalam perlawanan kedua di Bangkok, apabila Fadhli Shas mula mencarut dan mengakibatkan formasi bertukar menjadi 3-2-3-1, tidak ramai yang cenderung menghulurkan simpati terhadap Rajagobal. Mujur sahaja ramai yang simpati kepada Fadhli Shas kerana beliau tidak gemar bergambar dengan artis wanita.

That awkward moment.

That awkward moment. Gambar daripada Berita Harian.

Umum mengetahui bahawa apabila disebut 4-4-2, maka secara semulajadi 2 penyerang diperlukan, dan 2 pemain sayap diperlukan. Lihat sahaja bagaimana Rajagobal hanya tergamak memecahkan pantang beliau sendiri untuk mengambil pemain ‘tua’, semata-mata bagi memberikan ruang kepada Alex: seorang lagi pemain sayap. 4-4-2 juga berkehendakkan kepada cross dan bola tinggi: tidak ubah seperti yang dilaksanakan secara taat oleh para pertahanan Rajagobal, khususnya Bunyamin.

Maka adalah logik juga bahawa taktik hantaran tinggi ini hanya boleh dilakukan kepada lawan yang sama pendek di dalam Asia Tenggara, dan sama sekali tidak berkesan terhadap lawan yang lebih tinggi di peringkat luar Asia Tenggara. Tidak perlulah berkhutbah kepada Rajagobal bahawa susuk tubuh Malaysia lebih sesuai bermain 4-6-0 atau short pass, apabila para pemain Malaysia lebih gemar membuat hantaran tinggi seolah-olah purata ketinggian rakyat Malaysia ialah 1.80 meter. Tiki-taka? Sejak bila pula pemain Malaysia memiliki kemahiran basic untuk membuat dan menerima hantaran pendek?

Ukurlah baju di badan Mat Yo.

Sayap Raja

Ramai pihak yang mengatakan bahawa Rajagobal membina pasukannya di sekeliling Safiq Rahim. Ini merupakan sesuatu yang normal, kerana spesis homo sapiens memiliki mata di hadapan kepala, dan bukan di tepi seperti spesis helang. Maka sudah pastilah peripheral vision spesis homo sapiens ini lemah dan fokus pandangan tertumpu kepada pemain yang berada di tengah-tengah. Ditambah pula dengan penggunaan istilah ‘sekeliling’.

Tidak ramai yang mahu melihat bahawa Rajagobal membina pasukannya di sekeliling seorang pemain yang bernama Kunanlan Subramaniam. Kunanlan ialah pemain yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rajagobal. Kunanlan telah bermain dalam hampir kesemua kesebelasan yang diturunkan oleh Rajagobal, termasuklah dalam Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010. Apabila Rajagobal memerlukan 3 pemain lebih umur untuk Sukan Asia Guangzhou 2010, salah seorang daripada 3 pemain yang dipilih ialah Kunanlan. Apabila Kunanlan tiada dalam kesebelasan utama melawan Thailand akibat baru pulih kecederaan, Rajagobal boleh sahaja guna 4-2-3-1. Apabila Kunanlan dimasukkan pada minit ke-75? Ya, Safee juga masuk pada minit ke-75 dan formasi kembali menjadi 4-4-2. Status Kunanlan kepada Rajagobal tidak ubah seperti status 4-4-2 kepada Rajagobal. Pemain lain boleh datang dan pergi.

Di sinilah masalah Rajagobal bermula.

442

Everybody loves 4-4-2. Including the opponents.

Kunanlan telah dipilih untuk bermain di dalam pasukan kebangsaan kerana kepantasan beliau di bahagian sayap. Secara semulajadi, seorang pemain sayap akan memanipulasi kemahiran untuk melakukan cross. Di dalam pasukan Negeri Sembilan, Kunanlan boleh mensasarkan cross tidak kira tinggi mahupun rendah kepada Effa Owona, penjaring terbanyak Liga Super. Bagaimana pula di dalam pasukan kebangsaan?

Di dalam pasukan kebangsaan, Kunanlan akan membawa bola di bahagian sayap dan tugas beliau seolah-olah terhenti setakat itu sahaja. Ini bermakna Kunanlan telah dipilih untuk mewakili Malaysia atas sebab beliau memiliki kemahiran-kemahiran spesifik di dalam pasukan Negeri Sembilan yang kemudiannya tidak boleh digunakan dalam pasukan Malaysia. Kunanlan dipilih kerana beliau ialah Kunanlan tetapi kemudian disuruh untuk tidak menjadi Kunanlan. Beliau seolah-olah hilang arah, kerana sudah tiada kepala Effa Owona untuk disasarkan. Hanya ada Safee Sali yang sudah dimark. Ataupun Mat Yo yang sudahlah sedikit rendah, malah digomol pula oleh 3 peninju Thailand.

Ya, Malaysia sudah kepupusan targetman.

Malaysia sudah tiada pemain seperti James Wong. Pemain seperti Hadi Yahya dan Manaf Mamat sudah lama tenggelam apabila rakan-rakan sepasukan hanya diarah mensasarkan hantaran-hantaran kepada moneyman – Forkey Doe. Ini semua desakan karier.

Ini semua financial.

Namun segala-galanya tidaklah begitu kelam apabila sinar harapan mula terpancar daripada pemain muda seperti Afiq Azmi – yang sudahpun dipancing oleh gergasi bolasepak tempatan seperti Kelantan dan Selangor. Walau bagaimanapun, adakah targetman seperti beliau akan diberi peluang oleh Rajagobal?

Anda seolah-olah sudah tahu jawapan kepada soalan ini bukan?

Ultraman menjalankan tugas yang tidak mampu dilakukan oleh rakannya di sudut kanan gambar. Gambar daripada The Star.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: