6 Perkara Yang Akan Terjadi Jika Kelantan Kalah Piala FA

1. Perbelanjaan ‘kebajikan sosial’ Sime Darby akan meningkat

Sime Darby Football Club (SDFC) bukanlah sebuah entiti business yang mencari keuntungan, sebaliknya merupakan salah satu program CSR (Corporate Social Responsibility – Tanggungjawab Sosial Korporat) bagi konglomerat gergasi Sime Darby, yang bertujuan untuk “menggalakkan gaya hidup sihat melalui penyertaan dalam bidang sukan”. Program-program seperti ini melayakkan syarikat-syarikat seperti Sime Darby untuk mendapat pelepasan cukai daripada kerajaan.

Untuk tahun 2011, Sime Darby membelanjakan lebih daripada RM64 juta untuk program-program CSRnya, termasuklah SDFC. Namun, berapakah pula belanja ‘kebajikan sosial’ yang perlu ditambah oleh Sime Darby, sekiranya layak ke Piala AFC setelah memenangi Piala FA?

2. Wakil Malaysia ke Piala AFC 2013 akan bermain dalam stadium kosong

Pada 8 Mei 2012, ketika Kelantan menentang Ayeyawady United (Myanmar) di peringkat kumpulan Piala AFC, kehadiran penonton ke Stadium Sultan Mohammad IV Kota Bharu ialah seramai 7,372 orang.

Berapa ribu orang penonton pula yang akan membanjiri stadium, sekiranya Sime Darby menjadi wakil Malaysia dalam Piala AFC?

Berapa banyak wang yang harus dibelanjakan oleh Sime Darby daripada bajet ‘kebajikan sosial’nya, untuk memberi tiket percuma kepada para pekerjanya?

Para penyokong Kelantan memang terkenal dengan ‘passion’ terhadap pasukan negeri. Gambar daripada MrNamie.com.

3. Syarikat-syarikat berlumba-lumba bentuk kelab liga

Ketika SDFC sedang berusaha untuk menjadi kelab pertama yang memenangi Piala FA, hakikat yang perlu diakui oleh semua pihak, termasuklah SDFC sendiri, ialah betapa Piala FA bukanlah pertandingan bolasepak paling berprestij di negara ini.

Satu-satunya kejohanan yang diidam-idamkan oleh setiap pemain bolasepak di negara ini ialah kejohanan paling tua di seluruh benua Asia, iaitu Piala Malaysia. Piala Malaysia telahpun dimenangi oleh pasukan kelab sebelum ini, iaitu MBPJ FC (dahulu dikenali sebagai MPPJ FC) pada tahun 2003.

Walaupun telah berjaya memenangi hadiah terbesar dalam bolasepak negara, yang bahkan tidak pernahpun dimenangi oleh banyak lagi pasukan-pasukan negeri, apa yang menghairankan ialah kelibat MBPJ FC kini telahpun lenyap sama sekali daripada arena bolasepak negara. Masalah MBPJ FC ialah di kala ghairah mengejar kemasyhuran, ia telah berbelanja di luar kemampuannya.

Ini telah mengakibatkan ia gagal membayar gaji pemain selama beberapa bulan sehinggakan hero Piala Malaysia mereka, Juan Manuel Arostegui bertindak keluar daripada pasukan hanya 24 jam sebelum perlawanan suku akhir Piala Malaysia 2006.

MBPJ FC kemudiannya kalah kedua-dua perlawanan suku akhir Piala Malaysia tersebut dengan agregat 5-0.

Keaiban MBPJ FC bertambah apabila 15 buah MPV yang dipajak kepada para pemain telah ditarik sehingga menyebabkan pemain import dari Brazil, Carlos Alberto Ianiski berulang alik ke padang latihan dengan hanya berjalan kaki.

MBPJ FC kemudiannya disaman oleh persatuan bolasepak negeri Perlis yang menuntut hutang baki bayaran perpindahan dua pemain. MBPJ FC terus menerima malu apabila Perlis kemudiannya menarik balik saman atas dasar ‘kasihan’.

Hutang gaji pemain yang ditanggung oleh MBPJ FC dikatakan mencecah RM1.2 juta.

Paku terakhir pada keranda MBPJ FC akhirnya dipasak apabila ia dijatuhkan hukuman gantung selama dua tahun oleh FAM, setelah gagal mengesahkan komitmen untuk menyertai Liga Super 2006-2007, walaupun setelah tarikh akhir penyertaan dilanjutkan selama dua kali.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebenarnya hanyalah sebuah badan di bawah kerajaan negeri Selangor. Namun sepertimana Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), daripada meletakkan sokongan 100% terhadap pasukan bolasepak Selangor, MBPJ telah memutuskan untuk mengejar nama untuk diri sendiri. MBPJ memiliki ‘autonomi kewangan’ tetapi ‘autonomi kewangan’ tidak bermakna ‘autonomi politik’. MBPJ tidak bebas daripada apa-apa arahan dan tekanan daripada pihak pentadbiran kerajaan negeri.

Inilah yang membezakan MBPJ dengan syarikat korporat seperti Sime Darby. Jika Sime Darby menang, ia bakal menjadi pendorong kepada syarikat-syarikat korporat lain untuk menempa nama sendiri dalam arena bolasepak tempatan.

MBPJ FC: Juara Piala Malaysia tahun 2003, lupus daripada dunia bolasepak tahun 2006. Gambar daripada The Star.

4. Kemerosotan dana penajaan untuk persatuan negeri

Apabila syarikat-syarikat korporat mula ‘syok’ mengejar kemasyhuran, maka mereka akan melupakan sama sekali sebarang hasrat untuk menaja persatuan negeri. Badan-badan yang sememangnya memiliki pertalian dengan kerajaan negeripun akan mengalihkan dana daripada penajaan pasukan negeri, tidak ubah seperti MBPJ FC dan PKNS FC. Apatah lagi syarikat-syarikat yang tiada langsung pertalian dengan kerajaan negeri seperti GLC (government-linked corporation). GLC seperti Telekom Malaysia, yang sebelum ini menaja Liga Super dengan jumlah RM8.5 juta setahun akan lebih berminat untuk menumpukan kepada pembangunan pasukan bagi menempa nama untuk diri sendiri, seperti Sime Darby.

Ditambah pula dengan reputasi pemalas rata-rata pihak pengurusan yang mahukan jawatan semata-mata untuk pengaruh politik dan bukan ikhlas untuk bekerja, persatuan-persatuan negeri bakal menghadapi kesukaran untuk mencari penaja. Mereka akan terus menagih suapan geran FAM sebanyak RM300,000 (bagi pasukan Liga Super) dan RM100,000 (bagi pasukan Liga Perdana) yang diberikan setiap tahun, tidak ubah umpama anak-anak burung mengharapkan ibu mereka terbang pulang ke sarang sambil membawa cacing untuk dimakan.

Ke manakah arah persatuan-persatuan negeri selepas ini?

5. Kemenangan ‘kelab plastik’

SDFC tidak ubah seperti kelab-kelab bolasepak yang diasaskan oleh syarikat swasta seperti PSV Eindhoven (diasaskan tahun 1913 di syarikat elektrikal Philips) dan Bayer Leverkusen (diasaskan tahun 1904 di syarikat farmaseutikal Bayer). Namun sekalipun kedua-dua kelab ini telah mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa, ia masih digelar ‘kelab plastik’ kerana tidak mewakili dan tidak dilahirkan daripada sebarang komuniti:

Plastic Clubs

Clubs like PSV Eindhoven, who are owned by electrical giant Phillips and Bayer Leverkusen, who are run by German pharmaceutical company Bayer, are the best examples. But there are many more across Europe and the rest of the world, all supported by businesses that they represent. It’s a symbiotic relationship – the club is supported by the business and the business is represented by the club.

But this model alienates the fans. They don’t represent the community because they didn’t grow up from the community. As a consequence they don’t generate the same passion or loyalty as other clubs because they aren’t reliant on the supporters for their existence.

Football, a Model Business

Kemenangan SDFC pada perlawanan akhir Piala FA bakal menandakan kemenangan kepada pasukan-pasukan yang dilabel oleh rata-rata peminat di seluruh dunia sebagai ‘kelab plastik’.

6. Cuti peristiwa… untuk ‘peristiwa kalah’

Memang sudah menjadi kebiasaan oleh sesuatu kerajaan negeri untuk menjanjikan cuti peristiwa, SEKIRANYA pasukan bolasepak negeri itu menang perlawanan akhir peringkat kebangsaan seperti Piala Malaysia.

Akan tetapi kerajaan negeri Kelantan telah mengumumkan cuti peristiwa untuk negeri tersebut, tanpa mengira kalah atau menang pasukan bolasepaknya.

Ini bermakna cuti peristiwa yang diumumkan ialah untuk ‘peristiwa kalah’ atau ‘peristiwa balik kampung’.

Namun ini tidaklah membawa apa-apa makna besar kerana memang ramai para penyokong Kelantan yang ‘berkampung’ di Lembah Klang, seperti yang boleh dilihat daripada komposisi AJK Kelab Penyokong Siber Bolasepak Kelantan Darul Naim (12 daripada 18 AJK dari Selangor dan KL). [Kembali ke Laman Utama]

Advertisements

Satu Respons to “6 Perkara Yang Akan Terjadi Jika Kelantan Kalah Piala FA”

  1. betul kata piya.waktu menang semua sorak tapi waktu kalah semua orang tinggalkan mereka.fahmi tak salah,beg pun tak salah.as islam,we must believe all of this have their own reason.trw berusahalah,.saya akan bersorak bersama waktu korang menang dan menangis bersama waktu kalah.apapun korang dah menang and the best in malaysia.thanks trw sebab berjuang untuk kami……

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: