Kongres FAM di Genting Highlands (Sebuah Parodi)

oleh MrL

GENTING HIGHLANDS, 27 JULAI – Peminat bolasepak Malaysia rata-ratanya sudah lali dengan kebiasaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang sentiasa menukar format Liga Malaysia. Namun pengumuman FAM dalam Kongres FAM Kesembilan yang berlangsung semalam sudah pasti menggemparkan bukan sahaja peminat-peminat bolasepak Malaysia, malahan peminat-peminat bolasepak di rantau ini.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang berkongres di Resorts World Genting semalam mengumumkan bahawa format Liga Super bagi tahun 2013 akan ditukar lagi kepada format sukan gusti profesional WWE dan ECW. Dato’ Hamidin Hj. Amin, pengerusi jawatankuasa menjelaskan “keputusan ini dipersetujui setelah kami mendapati bahawa kehadiran penyokong ke stadium bagi setiap perlawanan semakin buruk, dan sesuatu perlu dilaksanakan bagi membawa semula penyokong ke stadium.”

Perubahan akan dijalankan bersandarkan Piala Liga yang akan ditukar kepada tali pinggang kejuaraan, yang akan dinamakan secara rasmi sebagai Kejuaraan Bolasepak Malaysia SingBet. Walaupun format perlawanan masih dikekalkan secara umumnya, format pertandingan secara liga akan dimansuhkan sama sekali, dan pertandingan akan berjalan secara cabar mencabar, dengan pasukan yang berjaya menewaskan pemegang tali pinggang, akan memegang tali pinggang berkenaan sehingga dicabar dan kalah kepada pasukan lain pula. Di samping itu, satu lagi perubahan besar yang diambil daripada sukan gusti profesional adalah sesi cabar-mencabar dan ‘trash-talk’ yang akan dijalankan 15 minit sebelum sepak mula, antara pengurus kedua-dua pasukan yang akan diberikan mikrofon dan dapat didengari penyokong di stadium dan di rumah. Penggunaan kata-kata kesat dan berunsur perkauman bukan sahaja akan dibenarkan, malahan turut digalakkan. Lain-lain perubahan adalah pertukaran dan kemasukan pemain secara tidak sah yang boleh dijalankan dengan syarat ianya tidak dilihat oleh pengadil dan penjaga garisan, pemberian kad merah hanya dilakukan setelah seseorang pemain itu menerima empat kad kuning, dan sistem ‘handicap’ dimana pasukan bertaraf ‘favourite’ akan bermain dengan hanya sepuluh pemain.

Bagi permulaan musim pertandingan 2013, tali pinggang kejuaraan sepatutnya akan disandang di awal musim oleh Kelantan, juara liga musim 2012. Namun Tan Sri Hamidin mengumumkan bahawa ia sebaliknya akan disandang oleh pasukan Selangor. “Memandangkan ramai yang dah dapat menghidu motif kami, kami berterus terang saja. Kami ahli jawatankuasa memang menyampah dengan Kelantan. Bukan sekadar pasukan, tapi negeri dan rakyat-rakyatnya sekali. Berani betul mereka ni menang, penuhkan stadium tiap kali perlawanan dan bangga dengan pasukan? Ini bukan budaya FAM. Jadi kami tolak 30 mata Kelantan musim depan siap-siap, dan beri tali pinggang kepada pasukan naib juara. Sepatutnya kejuaraan dipegang oleh naib juara, tapi memandangkan Lions XII bukan pasukan Malaysia, ia akan dipegang oleh pasukan tempat ketiga, Selangor. Itu saja sebabnya, bukan sebab pilih kasih,” jelas beliau sambil menunjukkan isyarat ‘bagus’ dan mengenyitkan mata ke arah Setiausaha Agung FAM, Dato’ Azuddin Ahmad.

Kejuaraan Bolasepak Malaysia SingBet juga akan bertukar penyiar rasmi daripada saluran Astro Arena 801 kepada Astro Ria 104, sejajar dengan objektif baru FAM untuk mendapatkan lebih banyak penonton dan keuntungan. “Pihak Astro sangat positif dengan langkah ini. Setelah tamatnya musim akhir Akademi Fantasia, mereka ketiadaan rancangan ‘flagship’, dan jangkaan kedua-dua pihak adalah Kejuaraan Bolasepak Malaysia SingBet bakal menjadi rancangan ‘flagship’ terbaru Astro Ria,” tambah Dato Aizuddin pula.

Setelah tamatnya kongres, media dikejutkan dengan kemasukan enam kereta perisai ke dalam dewan untuk membawa keluar semua ahli kongres keluar dan pulang, kecuali Presiden FAM yang didengari berkata “Saya nak lepak di sini sekejap. Sejam dua cukuplah.” Ini dikatakan dilakukan bagi melindungi keselamatan ahli-ahli jawatankuasa daripada sekitar 30 orang ahli-ahli kelab penyokong Ultras Malaya yang turut hadir di luar dewan kongres. Bagaimanapun, jelas sekali bahawa kerisauan ini tidak berasas. Apabila pihak kami menemuramah ahli-ahli Ultras Malaya ini, rata-rata mereka kelihatan sugul, menangis teresak-esak sambil ditenangkan rakan-rakan dan termenung jauh tanpa memberi apa-apa maklumbalas kepada kami. Hanya seorang daripada mereka yang hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil berkata “sebab ni la aku lagi suka tengok hoki.”

Perubahan format ini, yang kelihatan seperti menyalahi peraturan FIFA, sudah pasti akan mengundang tindakan dan penggantungan keahlian FAM dari FIFA. Namun yang mengejutkan adalah apabila dihubungi melalui Facebook Chat, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Perhubungan Awam FIFA, Walter de Gregerio mengatakan “sudah pasti Presiden persatuan anda hanya mahukan yang terbaik untuk kemajuan bolasepak negara anda. FIFA secara rasminya menyokong sepenuhnya keputusan FAM. Oh ya, sekadar nak bertanya, berapa kadar tukaran wang daripada RM20 juta kepada Swiss Franc?”

Pengumuman FAM ini sudah pastinya menggemparkan peminat-peminat sukan seluruh Malaysia. Nantikan liputan lanjut Berita Hairan apabila wartawan-wartawan kami selesai menulis laporan Liga Inggeris dan artikel Euro 2016.

Advertisements

~ oleh Rimau XI di September 12, 2012.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: