Kontroversi Bantahan Terhadap Pengadil

Penonton ‘mengamuk’ ketika perlawanan Liga Super antara Kelantan dan Negeri Sembilan. Gambar daripada Utusan Malaysia.

31 Mac 2009: Pengadil Shokri Nor melayangkan enam kad kuning kepada pemain tuan rumah Kelantan mengakibatkan penonton ‘mengamuk’ dengan membaling botol minuman dan meletupkan mercun ketika perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan. Shokri kemudian bertindak memberhentikan perlawanan beberapa kali. Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa menganggap penonton sama sekali tidak akan bertindak liar jika Shokri adil dalam membuat keputusan:

“Saya tidak salahkan penonton tetapi mutu pengadilan yang lemah selain kegagalan polis bertindak pantas menyebabkan penonton bertindak liar membaling objek dan membaling mercun ke tengah padang sehingga pada satu ketika keadaan nampak tegang.”

Tan Sri Annuar kemudiannya dipanggil oleh Lembaga Disiplin FAM kerana mengeluarkan kenyataan tersebut, namun tidak dihukum sebaliknya hanya dikenakan amaran keras.

Tan Sri Annuar Musa dipanggil oleh Lembaga Disiplin FAM kerana mengkritik Shokri Nor, pada tahun 2009. Gambar daripada Kosmo!.

7 April 2009: Bolasepak Malaysia dikejutkan dengan rusuhan oleh seramai 2,000 orang penyokong Kelantan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV sebagai membantah mutu pengadilan semasa perlawanan Piala FA antara Kelantan dan Negeri Sembilan. Sebuah trak polis telah dibakar manakala seorang pelajar, Muhammad Huzaifah Mohd Nor, buta sebelah mata apabila terkena serpihan objek daripada tembakan gas pemedih mata.

Trak polis dibakar dalam rusuhan. Gambar daripada kelatefc.blogspot.com.

Sangat menyayat hati – Huzaifah menjadi mangsa keadaan dalam rusuhan yang meletus.

23 April 2011: Penyokong Kedah berhimpun di luar Stadium Darul Aman sebagai tanda protes terhadap pengadil Shokri Nor ketika perlawanan Liga Super antara Kedah dan Harimau Muda A. Shokri Nor dikatakan membuat keputusan berat sebelah apabila tidak memberikan sepakan penalti setelah bola ditampan oleh pemain Harimau Muda A, selain melayangkan lima kad kuning kepada pemain Kedah dan hanya memberikan masa tambahan dua minit walaupun perlawanan dihentikan pada minit-minit akhir. Penolong jurulatih Kedah, Radhi Mat Din menyerahkan kepada peminat untuk menilai kredibiliti Shokri Nor:

“Saya bukan mahu menuding jari menyalahkan sesiapa tetapi penonton di stadium boleh menilainya. Saya akan lihat perkara ini (bantahan).”

Penyokong Kedah berhimpun untuk membuat bantahan terhadap pengadil Shokri Nor. Gambar daripada Kosmo!.

Laman Facebook Anti Shukri Nor yang dimulakan oleh penyokong Kedah sejak April tahun lepas lagi. Bila terlalu ramai musuh, bukan semua musuh itu budak-budak.

27 September 2011: Pengurus Kedah, Wan Jamak Wan Hassan yang berang dengan keputusan pengadil Shuhaimi Mat Hassan ketika pasukannya seri dengan Perak sekaligus gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia, menyifatkan bahawa pasukannya telah “dirompak”:

“Kami sepatutnya dapat dua gol bersih tetapi dirompak pengadil yang membatalkan dua itu pada babak pertama. Pengadil membuat keputusan yang tidak masuk akal.”

Wan Jamak kemudiannya telah digantung 7 perlawanan dan didenda RM4,500 oleh FAM akibat komen tersebut.

“Kami dirompak pengadil” – Wan Jamak. Gambar daripada Kosmo!.

10 Oktober 2011: Pengadil Mohd. Nafeez Abdul Wahab melayangkan 10 kad kuning dan 5 kad merah dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu dan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan pengadil “tidak konsisten” dan patut “jauh lebih matang”:

“Namun, pengadil ini tidak konsisten dalam menjalankan tugasnya dan dilihat menghukum pemain yang tidak besar kesalahannya dan melepaskan pemain yang melakukan kesalahan besar. Sepatutnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar pengadil yang jauh lebih matang dan berpengalaman supaya permainan dapat dikawal dengan lebih sempurna.”

“Pengadil ini tidak konsisten” – Datuk Seri Ahmad Said. Gambar daripada Sinar Harian.

17 Mac 2012: Jurulatih Robert Alberts meluru ke padang untuk berhadapan dengan Shuhaimi Mat Hassan sekaligus membantah keputusan pengadil tersebut ketika kekalahan 0-1 Sarawak kepada LionsXII akibat tendangan penalti. Alberts kemudiannya berkata:

“Kami tidak patut kalah malam ini. Saya hilang kata-kata untuk menerangkan bagaimana teruk saya rasa tentang perlawanan hari ni.”

Roberts Alberts meluru ke arah pengadil. Gambar daripada Chimon Upon (Borneo Post Online).

22 April 2012: Shokri Nor melayangkan dua kad merah dan enam kad kuning dalam perlawanan separuh akhir Piala FA antara Kelantan dan Kedah.

31 Mei 2012: Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin berkata kini semua pengadil akan diperhatikan dalam usaha penyiasatan isu rasuah:

“Tetapi kami akan memerhatikan pengadil untuk memastikan perkara ini tidak berulang lagi. Semua pemain, jurulatih dan pegawai lain juga harus peka dengan situasi.”

Advertisements

~ oleh Rimau XI di Jun 2, 2012.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: