Sukan Asia 2010 Guangzhou: Malaysia lwn. Jepun (0-2)

Cabaran pasukan bolasepak kebangsaan di Sukan Asia edisi ke-16 bersambung dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ yang khususnya dinyanyikan begitu lantang, oleh jurulatih K. Rajagobal dan bintang juara Piala Malaysia, penyerang Kelantan Norshahrul Idlan Talaha. Malaysia yang bertandang ke Guangzhou tanpa tujuh tonggak utamanya: ketua pasukan Aidil Zafuan, kembarnya Zaquan Adha, Baddrol Bakhtiar, Sabre Abu, Azmi Muslim, penjaga gawang Sharbinee Allawee dan Farizal Marlias; kini, setelah kemenangan 2-1 terhadap Kyrgyzstan, dihambat pula dengan kecederaan kapten Norhafiz Zamani, pemain paling banyak cap dan salah seorang daripada tiga pemain lebih umur dalam pasukan bawah 23 tahun negara. Dua lagi pemain lebih umur, Norshahrul dan S. Kunanlan, hanya berusia 24 tahun: setahun lebih tua daripada had.

Bekas pengurus Inter Milan, Jose Mourinho pernah menyatakan bahawa beliau ‘meletakkan bukan bas, tetapi kapal terbang’ di hadapan pintu gol sebagai benteng untuk menghadapi barisan serangan Barcelona yang digeruni, dan ramai beranggapan bahawa Rajagobal yang turun dengan skuad ‘tempang’ akan berbuat sedemikian rupa bagi menentang Jepun. Rajagobal bagaimanapun telah meletakkan dua orang penyerang iaitu Norshahrul dan penyerang tinggi lampai Izzaq Faris Ramlan dalam kesebelasan utama yang bercorak 4-4-2.

Tugas kapten digalas oleh Safiq Rahim dan beliau memimpin melalui teladan apabila melepaskan hantaran lintang ke pintu gol Jepun seawal minit ke-10. Kunanlan pula mendapat peluang satu lawan satu seminit kemudian yang pantas dinafikan penjaga gawang Jepun, Shunsuke Ando.

Bermula daripada minit ke-21, Jepun meningkatkan tempo dan semakin menekan pertahanan Malaysia apabila pemain nombor 10nya, Kota Mizunuma, meledakkan tendangan dari pinggir kanan kotak penalti. Dua minit kemudian, benteng kiri negara pula ditembusi dan hantaran pemain Jepun melintang ke hadapan gol tanpa membuahkan sebarang hasil. Situasi itu berubah pada minit ke-26, apabila gerakan cantik Daisuke Suzuki mengakibatkan bola muntah yang disudahi dengan gol oleh Kensuke Nagai.

Malaysia serta merta bertindak balas dengan larian Norshahrul di sebelah kanan pintu gol lawan yang menghasilkan tendangan sudut, namun ia gagal membawa sebarang makna. Pertahanan negara kembali cemas pada minit ke-31 apabila Mizunuma jatuh dalam kotak penalti selepas bentesan Asraruddin Putra, akan tetapi tiada sebarang bantahan dibuat oleh Jepun dan pengadil tidak mengambil sebarang tindakan. Jepun dan Malaysia berbalas serangan pada minit ke-34 dan 35 apabila Faizal Abu Bakar mensia-siakan serangan dengan melepaskan tendangan rendah yang tersasar ke kiri gol lawan. Faizal mengulangi kesilapan beliau apabila bertindak serupa pada minit ke-38.

Kesilapan kemudian menjangkiti barisan pertahanan pula apabila Asraruddin mudah diatasi untuk hantaran lintang Jepun dilepaskan yang gagal dimanfaatkan Nagai. Seminit kemudian giliran Muslim pula dirampas bola, namun tandukan menegak Ryohei Yamazaki mudah diselamatkan penjaga gawang kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat. Fahmi seterusnya dipaksa menyelamatkan tendangan deras Keigo Higashi. Penyerang negara yang seolah-olah ‘terpulau’ daripada aksi: Izzaq Faris, akhirnya berjaya melibatkan diri dengan melakukan percubaan terbaik negara untuk menyamakan kedudukan: tandukan yang diselamatkan Shunsuke Ando sejurus sebelum wisel dibunyikan tanda penamat separuh masa pertama.

Tiga minit selepas sepak mula separuh masa kedua, Nagai sekali lagi mengancam pintu gol negara apabila meledakkan volley kencang yang melepasi palang. Safiq Rahim yang aksinya mengekalkan harapan kepada para penyokong negara, melakukan gerakan menarik pada minit ke-52 namun ia diakhiri dengan hantaran lintang Asraruddin yang mudah diatasi pertahanan Jepun. Malaysia seterusnya berkampung di kawasan sendiri apabila tendangan Nagai menggegar tepi gawang.

Pada minit ke-64, para penonton disajikan dengan gol berpasukan sempurna, apabila Jepun membuat lebih daripada sepuluh hantaran sebelum diakhiri dengan diving header Hotaru Yamaguchi. Jepun seakan-akan memperlahankan rentak sejurus menjaringkan gol kedua tersebut, akan tetapi kemasukan Khyril Muhymeen, pemain yang memiliki bilangan cap kedua terbanyak dalam pasukan pada minit ke-65, gagal mencetus sinar yang diharap-harapkan. Pemain Malaysia paling kreatif selain Safiq iaitu Norshahrul, kemudiannya digantikan pada minit ke-75, dan cabaran pasukan kebangsaan merosot sehinggalah Safiq meledakkan hantaran lintang yang gagal disudahkan Izzaq sebelum wisel penamat.

Positif: Banyak gerakan menarik pasukan kebangsaan berpusat kepada Safiq, yang juga seringkali membantu barisan pertahanan. Norshahrul seperti biasa merupakan pemain licik yang sukar dikekang walau oleh pertahanan setinggi standard Jepun.

Negatif: Amar Rohidan menjadi pemain tengah yang ‘halimunan’ dan anonymous: punca bahagian tengah dikuasai Jepun. Izzaq mungkin diarah menjalankan tugas sebagai out-and-out striker namun tanpa cukup hantaran yang dibekal, beliau seakan-akan ‘terpulau’ (isolated).

Advertisements

~ oleh Rimau XI di November 11, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: